Kebakaran di bumbung ICC berjaya dikawal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Kebakaran yang berlaku di sebahagian bumbung bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas berjaya dikawal oleh anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh 10 minit dengan punca dan kerugian masih lagi disiasat.

Seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita telah dikejarkan ke tempat kejadian yang diketuai oleh ASO Haji Roslan bin Bakir, di kawasan Jalan Stadium Negara Hassanal Bolkiah kira-kira jam 1:17 petang.

Ketika tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api kecil membakar sebahagian bumbung di bahagian Dewan Serba Guna ICC.

Anggota bomba seterusnya bertindak menggunakan tangga bagi mencapai paras yang dikehendaki dan membawa tiga jet hos.

Tidak ada korban jiwa dilaporkan semasa insiden tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menasihatkan orang ramai untuk segera menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat jika berlaku sebarang insiden kecemasan.

Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di bumbung bangunan ICC. – Gambar serahan JBP