Kebakaran di Gran Canaria, ratusan dipindah

MADRID, 12 OGOS – Anggota bomba berharap dapat mengawal kebakaran mengganas hari ini di pulau percutian Sepanyol, Gran Canaria yang mencetuskan pemindahan ratusan orang, kata para pegawai tempatan.

“Kami menjangkakan pada siangnya kami akan dapat mengawal kawasan yang masih aktif terbakar,” kata Angel Victor Torres, presiden kerajaan serantau dari Pulau Canary, sebuah kepulauan Sepanyol di luar Atlantik pantai barat laut Afrika, kepada sidang berita.

“Ia akan menjadi tugas yang sukar kerana kami bergelut menentang angin dan kekurangan air dan hujan,” tambahnya.

Kira-kira 250 anggota bomba dan askar sedang menangani kebakaran itu yang meletus pada Sabtu di barat perbandaran Artenara dekat wilayah bandar Las Palmas. Sebanyak 13 pesawat pengebom air dan helikopter telah dikerahkan untuk memadam kebakaran yang sejauh ini telah menjejaskan sekitar 1,500 hektar tanah, kata perkhidmatan kecemasan tempatan dalam Twitter.

Kira-kira 1,000 penduduk telah dipindahkan pada hujung minggu akibat ancaman kebakaran namun ramai yang dibenarkan pulang ke rumah mereka hari ini. Tiada sesiapa yang cedera akibat kebakaran itu. – AFP