Kebakaran di kilang letupan ragut 16 nyawa

MOSCOW, 22 OKT – Kira-kira 16 orang terkorban dan seorang lagi masih hilang selepas kejadian kebakaran di kilang letupan Rusia di barat daya Moscow hari ini, kata pihak berkuasa.

Kerajaan wilayah Ryazan, tempat kilang tersebut berpangkalan, berkata mereka terbunuh dalam kebakaran kilang di perkampungan Lesnoye, 300 kilometer dari ibu kota.

“Nasib seorang lagi masih belum diketahui,” menurut kenyataan.

Seorang lagi dimasukkan ke hospital dengan ‘kesan melecur yang teruk’ dan dalam ‘keadaan serius’, tambah kenyataan.

Kementerian kecemasan yang menerbitkan imej menunjukkan asap dan debu keluar daripada bangunan kilang tersebut.

Terdahulu mereka berkata keba-karan berlaku berpunca daripada ‘pelanggaran proses teknologi dan langkah keselamatan’ di kilang Elastik PGUP.

Kilang itu dianggap sebagai ‘syarikat strategik’ oleh kerajaan Rusia.

Menurut laman webnya, kilang tersebut kepunyaan Rostec yang menyatukan pelbagai jenis bekalan industri daripada syarikat-syarikat atau penghasilan teknologi tinggi kepada sektor awam dan tentera.

Tetapi media tempatan berkata ia jatuh bankrap pada 2015 dan bengkelnya digunakan oleh syarikat lain dari sektor letupan.

Pihak bomba menerima laporan pertama kebakaran di kilang itu pada 8:22 waktu tempatan, menurut kementerian kecemasan.

Lebih 170 anggota penyelamat dikerah di tempat kejadian, tambahnya. – AFP