Kebakaran di tapak bateri Tesla berjaya dikawal

SYDNEY, 2 OGOS – Kebakaran di sebuah tapak bateri Tesla di Australia yang bermula tiga hari lalu sudah berjaya dikawal hari ini, kata anggota bomba.

Perkhidmatan kecemasan yang dihubungi berkejar ke tapak projek Victoria Big Battery – dibina oleh firma tenaga diperbaharui Perancis, Neoen yang menggunakan bateri Tesla – pada pagi Jumaat.

Bateri litium seberat 13 tan dalam kontena perkapalan telah terbakar di tapak dekat Geelong, kira-kira satu jam pemanduan dari bandar kedua Australia, Melbourne, kata Perkhidmatan Bomba Negara (CFA).

“Berlaku kebakaran pada satu pek bateri yang mana merebak ke pek kedua berdekatan,” kata pengawal insiden Ian Beswicke dalam satu kenyataan.

Imej yang disiarkan oleh CFA menunjukkan kepulan asap tebal kelihatan dari salah satu unit di tapak itu.

Perkhidmatan bomba berkata insiden itu sudah diumumkan ‘dikawal’ sekitar jam 3 petang hari ini.

“Anggota bomba berjaya menyelesaikan operasi pembukaan semua pintu kepada kontena bateri itu, dengan tiada tanda kebakaran lain,” kata CFA dalam laporan kemas kininya.

Pihak berkuasa bomba berkata punca kebakaran masih belum diketahui.

“Sekumpulan kecil anggota dan jentera bomba dari CFA akan kekal berada di sana untuk pemantauan 24 jam sekiranya berlaku kebakaran, tambahnya lagi. – AFP

Gambar diserahkan pada 2 Ogos oleh anggota bomba Victoria menunjukkan kebakaran dari tapak bateri Tesla dekat Geelong. – AFP