Kebakaran elektrik di Kampung Junjongan berjaya dikawal

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Satu insiden kebakaran elektrik berlaku di Kampung Junjongan, kelmarin, yang melibatkan alat penghawa dingin pada bahagian pemampat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, sembilan orang anggota dari Balai Bomba Pengkalan Batu, Cawangan Operasi F yang diketuai oleh DSO Haji Abnoh bin Haji Dali telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 10:18 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, kebakaran telah pun padam dengan sendirinya.

Kesemua penghuni rumah telah pun keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai.

Kenyataan juga menyatakan bahawa punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar memastikan kediaman dilengkapi dengan alat pemadam api jenis debu kering 4kg dan selimut api serta sentiasa memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.

Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.

Di samping itu, pastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Anggota bomba dan penyelamat ketika menyemburkan air untuk memadam alat penghawa dingin yang terbakar di Kampung Junjongan. – Gambar serahan JBP