ATHENS, 15 OGOS – Agensi pemetaan satelit Kesatuan Eropah (EU) melaporkan tanah seluas 104 kilometer persegi terbakar di timur laut Athens minggu ini yang memusnahkan banyak rumah dan mendorong beberapa negara menghantar bantuan.
Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Copernicus mengumumkan anggaran kerosakan kelmarin, sehari selepas kebakaran hutan berjaya dikawal dalam usaha besar-besaran yang berakhir di pinggir ibu negara.
Seorang pekerja kilang terbunuh dalam kebakaran yang melanda kawasan pergunungan ke arah selatan itu, meliputi kawasan hampir dua kali ganda saiz bandar Manhattan dan menyelubungi ibu kota Greece dengan kepulan asap tebal.
Kebakaran itu merosakkan 22 perniagaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya 78 rumah tidak dapat didiami dengan hampir separuh daripadanya musnah sepenuhnya, kata pegawai Greece kelmarin. Pemeriksaan di kawasan yang dilanda kebakaran akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang.
Sembilan negara, termasuk negara jiran Turkiye, menghantar bantuan ke Greece untuk meningkatkan krew darat dan pesawat yang menjatuhkan air serta helikopter yang beroperasi di luar Athens.
Kebakaran liar itu adalah akibat gelombang haba berturut-turut di seluruh Eropah selatan dan paras hujan rendah tahun ini.
Menurut anggaran yang dikemas kini oleh Balai Cerap Kebangsaan Athens, sejak lapan tahun lalu 450 kilometer persegi hutan telah terbakar di wilayah Attica yang termasuk Athens. Jumlah itu merangkumi 37 peratus daripada jumlah kawasan hutan di rantau berkenaan. – AP