Kebakaran hutan jejas bekalan madu pokok pain

COKEK, TURKI – Penternak lebah Mustafa Alti dan anak lelakinya Fehmi sentiasa sibuk menjaga sarang lebah sebelum kebakaran hutan melanda rantau perkampungan Turki yang menghasilkan kebanyakan madu pokok pain yang paling berharga di dunia.

Kini Altis dan generasi penternak madu lain di wilayah Mugla, Aegean, Turki sedang berebut-rebut untuk mencari pekerjaan tambahan dan tertanya-tanya berapa dekad yang mungkin diambil untuk mengembalikan semula kehidupan lama mereka.

“Mata pencarian kami adalah daripada penternakan lebah, tetapi apabila hutan terbakar, sumber pendapatan kami pun terjejas teruk,” kata Fehmi, 47, bersebelahan dengan sarang lebah di lereng bukit di kampung Cokek yang dimusnahkan oleh kebakaran.

“Saya melakukan kerja sampingan, saya menebang pokok, dengan cara itu kami berjaya mencukupkan belanja harian.”

Hampir 200,000 hektar hutan, lebih lima kali lebih besar daripada purata tahunan, dijilat api di seluruh Turki pada tahun ini, sekali gus menukar pantai hijau yang popular dengan pelancong kepada abu.

Fehmi Alti dan bapanya Mustafa Alti mengikis bingkai indung madu untuk mengeluarkan madu di kampung Cokek, wilayah Mugla, Turki. – AFP
Penternak lebah memeriksa hasil madu di kampung Cokek, wilayah Mugla, Turki. – AFP

Sarang lebah kelihatan di kampung Cokek di wilayah Mugla, barat daya Turki. – AFP

Krisis musim panas dan beberapa siri banjir teruk menjadikan iklim – telah pun mengusutkan fikiran pengundi muda – isu utama dua tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Menandakan peralihan politik, parlimen Turki pada ming-gu ini mengakhiri penantian lima tahun dan mengesahkan Perjanjian Paris mengenai pelepasan rumah hijau yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global dan peristiwa cuaca luar biasa.

Namun kerosakan telah pun berlaku di Mugla, di mana 80 peratus daripada madu pokok pain Turki dihasilkan.

Turki pada keseluruhannya menghasilkan 92 peratus daripada madu pokok pain dunia, bermakna bekalan madu pekat warna kuning jingga itu mungkin berkurangan tidak lama lagi.

Madu pain Turki telah pun terjejas daripada kemarau apabila dilanda kebakaran hutan, memusnahkan keseimbangan di antara lebah, pokok dan serangga kecil di tengah proses pengeluaran madu.

Madu dihasilkan oleh lebah selepas mereka mengumpul rembesan manisan kumbang Basra (Marchalina hellenica), yang hidup dengan memakan sap pokok pain.

Fehmi berharap kumbang tersebut akan menyesuaikan diri dengan pokok lebih muda selepas kebakaran. Namun dia juga menerima hakikat bahawa ‘ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima atau 10 tahun untuk mendapatkan semula pendapatan berharga kami.”

Bapanya Mustafa bersetuju, sambil menggesa kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan supaya mengembangkan kawasan hutan dan menanam pokok pain muda.

“Rumah rentung tidak dapat dipulihkan. Bolehkah anda menghidupkan benda yang sudah mati? Tidak. Namun pokok baharu mungkin datang, ge-nerasi baharu,” kata Mustafa.

Untuk sekarang, pemelihara lebah sedang menghitung kerugian mereka dan memikirkan apa yang akan dilakukan seterusnya.

Presiden Persatuan Penter-nak Lebah Mugla, Veli Turk, menjangka pengeluaran madu di rantau merosot sehingga 95 peratus pada tahun ini.

“Kemungkinan besar tidak adanya madu Marmaris yang tinggal,” katanya.

“Madu ini tidak akan muncul untuk 60 tahun akan datang,” ramalnya.

“Bukan sahaja di Turki. Madu ini akan dijual di semua tempat di dunia. Ia merupakan satu rahmat. Krisis ini benar-benar satu kerugian besar.”

Penternak lebah Yasar Karayigit, 45, sedang menimbang untuk beralih kepada jenis madu berlainan untuk meneruskan pekerjaannya dan juga satu-satunya sumber pendapatan beliau.

“Saya suka memelihara lebah, namun untuk meneruskan kerja ini, saya perlu memikirkan alternatif,” kata Karayigit, menyatakan ‘royal jelly’ (atau susu lebah) dan madu bunga matahari, yang membabitkan kos tambahan.

“Akan tetapi sekiranya kami suka lebah, kami terpaksa melakukannya,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Ismail Atici, ketua Dewan Pertanian daerah Milas di Mugla, berkata harga madu pokok pain telah naik dua kali ganda berbanding tahun lalu, sekali gus menjejas makanan sarapan popular yang mampu untuk kebanyakan warga Turki.

Dia menjangka harga akan terus naik dan bekalan menjadi semakin kurang.

“Kami akan sampai ke tahap di mana walaupun jika anda mempunyai wang, anda tidak dapat mencari tumbuhan yang mempunyai khasiat ubat dan madu berkhasiat ini,” ujar Atici.

“Akan menjadi amat sukar mencari madu pain 100 peratus,” kata pemelihara lebah Marayigit. “Kami telah pun mengalami kehilangan yang amat besar.”

Melihat ke depan, presiden Persatuan Penternak Lebah Turki, Ziya Sahin, mencadangkan pengenalan kumbang Basra secara terpilih ke kawasan baharu di Mugla, meluaskan liputan hutan daripada tujuh sekarang kepada 25 peratus daripada hutan pokok pain tempatan.

“Jika kami melakukan pemindahan kumbang dari satu kawasan ke kawasan lain dan meneruskan usaha ini selama dua tahun berturut-turut, kami boleh melindungi dominasi rantau dalam sektor ini,” kata Sahin.

“Pengeluaran madu akan merosot teruk sekiranya kami tidak melakukan projek ini,” tambahnya, menggelar tahun ini sebagai yang paling teruk dalam kerjaya 50 tahunnya.

Meskipun perjalanan yang sukar di depan, Alti tidak merancang untuk berhenti daripada mengusahakan penghasilan madu berkenaan.

“Inilah perniagaan bapa saya. Disebabkan ia diturunkan daripada keluarga, kami mesti meneruskannya,” kata Fehmi. – AFP