LOS ANGELES, 27 OKT – Hampir 60,000 orang meninggalkan kediaman mereka apabila kebakaran memusnahkan lebih 3,000 hektar di Los Angeles, mengakibatkan kesesakan di jalan raya utama serta dua anggota bomba cedera parah.
Kebakaran digelar Silverado Fire itu berlaku pada waktu pagi di kaki bukit Irvine dan merebak terlalu cepat disebabkan keadaan kering dan angin yang tidak menentu, sekali gus menyukarkan kerja memadamkan api menggunakan kapal terbang.
“Ini adalah kerja gila, walaupun berada dalam kereta, mata, hidung dan tekak saya perit,” kata seorang pelancong dari Perancis, Frederic Tournadre.
Keadaan bertambah buruk pada waktu petang apabila beberapa kawasan termasuk jalan raya diselubungi asap dan debu.
Ketika ini kira-kira 20,000 kediaman terpaksa dikosongkan dan beberapa sekolah ditutup.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sebelum ini sudah memberi amaran mengenai kekurangan kelembapan, tumbuh-tumbuhan yang kering serta angin kuat bakal menyebabkan ‘kebakaran paling berbahaya’ tahun ini.
“Kebakaran terbaharu di Los Angeles dan Ventura akan menyebabkan api marak dengan cepat dan akan mengakibatkan ancaman kepada kehidupan serta harta benda,” kata agensi itu lagi. – AFP