WELLINGTON, 5 OKT – Kebakaran hutan telah memusnahkan 50 buah rumah di New Zealand (NZ), umum pihak berkuasa hari ini, berkata ia merupakan satu keajaiban tidak ada sesiapa yang cedera apabila kebakaran meranapkan kampung terpencil Pulau Selatan.
Kebakaran bermula di kawasan hutan pergunungan, awal pagi semalam, dan terus marak akibat tiupan angin kencang sehingga merebak ke sebahagian besar perkampungan Lake Ohau, sekali gus menyebabkan penduduknya terpaksa keluar menyelamatkan diri. Menurut pihak berkuasa Bomba dan Kecemasan New Zealand (FENZ), tiupan angin yang tidak dijangka menyebabkan kerja memadam amat mencabar dengan api sudah menjilat kawasan seluas kira-kira 4,600 hektar, setakat ini.
Datuk Bandar Daerah Waitaki, Gary Kircher, berkata kebakaran itu telah memusnahkan Lake Ohau yang merupakan sebuah perkampungan kecil. “Kami percaya sebahagian besar daripada 60 atau 70 rumah yang ada, sudah pun musnah. Mujur tiada yang cedera,” katanya kepada Radio New Zealand. Dengan hujan diramalkan dalam tempoh 24 jam akan datang, timbulnya harapan ia akan terkawal pada malam esok. – AFP