ALEPOCHORI, GREECE, 20 MEI – Penduduk beberapa kampung di Greece dipindahkan hari ini tanpa sebarang kecederaan dilaporkan tatkala anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran besar pertama dalam negara di banjaran gunung yang menghadap Teluk Corinth.
Penduduk enam kampung dan dua biara dipindahkan selepas kebakaran meletus petang semalam berhampiran kampung Schinos di Teluk Corinth, kira-kira 90 kilometer dari barat Athens, beritahu jurucakap kepada AFP.
Penduduk berkata mereka tidak mempunyai masa untuk menukar pakaian ketika mereka dibawa ke kampung berhampiran Alephochori demi keselamatan diri mereka.
“Kami dikejutkan oleh polis pada pukul 4 pagi, yang menyuruh kami meninggalkan rumah,” beritahu seorang warga tua kepada Skai TV. – AFP
