KUALA LUMPUR, 1 OKT – Ratusan kebakaran hutan di Indonesia telah menyebabkan jerebu yang memburukkan kualiti udara di beberapa bahagian di Malaysia, kata pegawai tertinggi alam sekitar Kuala Lumpur, sebuah dakwaan yang dinafikan oleh Jakarta kelmarin.
Lonjakan kebakaran hutan berkabut asap pada 2019 menyebabkan Malaysia berkata ia akan menekan Indonesia untuk menangani masalah tahunan ini, yang sering disebabkan oleh kebakaran yang dimulakan bagi membersihkan tanah pertanian.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata kebakaran itu memburukkan lagi pencemaran udara di pantai barat negara itu dan di Sarawak, bahagian Malaysia di pulau Borneo.
“Kualiti udara secara keseluruhan di negara ini menunjukkan kemerosotan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu.
“Kebakaran hutan yang berlaku di bahagian selatan Sumatera dan bahagian tengah dan selatan Kalimantan (Borneo), Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan,” katanya.
Kenyataan itu berkata imej satelit menunjukkan 52 ‘titik panas’ (hotspot) kebakaran hutan di Sumatera dan 264 di Borneo, menurut laporan dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura, mengesan jerebu yang menjejaskan Asia Tenggara.
Menteri Alam Sekitar Indonesia memberikan respons terhadap dakwaan itu.
“Hakikatnya tiada jerebu rentas sempadan,” kata Siti Nurbaya Bakar kepada AFP kelmarin, sambil berkongsi imej ASMC yang menurutnya hanya menunjukkan jerebu di Sumatera dan Borneo.
“Mereka (Malaysia) merujuk kepada data hotspot? Tidakkah mereka tahu perbezaan antara hotspot dan firespot? Jika (awda) tidak tahu dengan pasti, jangan bercakap sembarangan.” – AFP