Kebakaran: Jangan leka semasa Lebaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Orang ramai perlu meningkatkan aspek keselamatan kebakaran sama ada di rumah mahupun di premis-premis perniagaan sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Mereka dinasihatkan supaya tidak mengabaikan atau lalai mengenai aspek keselamatan ini agar kejadian tidak diingini dapat dielakkan.

Penekanan itu dibuat oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi E, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Mohd Yudieswandy bin Bakar (gambar bawah) bagi mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) ketika menyampaikan nasihat mengenai aspek kebakaran menjelang Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, orang ramai disarankan untuk mempunyai alat pemadam api jenis debu kering 2 kilogram, selimut api dan alat pengesan asap yang dapat memberikan amaran awal berlakunya kebakaran serta mempunyai pelan tindakan keselamatan kebakaran yang mengandungi tatacara tindakan jika berlaku kebakaran dan keluar menyelamatkan diri.

Jabatan berkenaan juga menyarankan kepada orang ramai supaya mengetahui sekurang-kurangnya dua laluan keluar untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran bagi mengelakkan daripada terperangkap, tidak meninggalkan warga emas, orang berkeperluan khas dan anak-anak damit bersendirian semasa mereka ingin pergi ke mana-mana serta jika sekiranya mereka membuat perjalanan jauh, tutup injap atau cabut kepala gas bagi mengelakkan terjadi gas bocor dan mengakibatkan letupan dan kebakaran.

JBP dalam kenyataan itu turut mengongsikan statistik kebakaran bangunan dan rumah di mana bagi kebakaran bangunan Januari hingga April 2021, sebanyak 13 panggilan diterima dengan anggaran kerugian sebanyak $71,570.00 iaitu menurun daripada jumlah kebakaran bangunan yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada 2020 iaitu dari Januari hingga April 2020, sebanyak 16 panggilan diterima dengan anggaran kerugian sebanyak $798,090.00.

Manakala itu, bagi kebakaran rumah dari Januari hingga April 2020, sebanyak 23 panggilan diterima dengan anggaran kerugian sebanyak $468,450 dengan berjaya diselamatkan sebanyak $2,388,530 di mana jumlah panggilan dan kerugian adalah menurun dari tempoh yang sama pada 2020.

Pada 2020, bagi kebakaran rumah dari Januari hingga April 2020, sebanyak 32 panggilan diterima dengan anggaran kerugian sebanyak $1,160,930 serta berjaya diselamatkan sebanyak $740,000.

Orang ramai juga disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka boleh berhubungan terus ke JBP melalui Talian Kecemasan Bomba 995 dan memberikan maklumat yang tepat.