Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kebakaran jejas 90 hektar hutan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Kerja-kerja memadam kebakaran hutan yang berlaku di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, kelmarin, masih diteruskan ke hari ini dengan anggaran kemusnahan pada tanah kerajaan mencecah 90 hektar.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menyatakan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Rimba, Cawangan Operasi C, masih lagi meneruskan operasi memadamkan kebakaran hutan di kawasan Loji Penapisan Air Berakas, Lebuh raya Muara Tutong serta kawasan Jalan 60 RPN Kampung Rimba.

    Menurut JBP, pemantauan awal menggunakan dron telah dibuat bagi memastikan kawasan terjejas dapat dipantau dengan operasi pemadaman turut mengaplikasikan kaedah water bombing yang dikendalikan oleh helikopter dari Tentera Udara Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Operasi water bombing bermula pada pukul 12:05 tengah hari hingga 3 petang dengan sebanyak 30 kali telah dilakukan dan berjaya memadamkan 80 peratus di kawasan-kawasan yang terjejas.

    Anggaran keluasan kebakaran pada masa ini, menurut JBP sudah mencecah 90 hektar tanah kerajaan yang melibatkan kawasan UBD, Loji Penapisan Air Berakas, Radar dan Jalan 99 RPN Kampung Rimba.

    Kebakaran hutan yang berlaku di kawasan RPN Kampung Rimba, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Anggota bomba dan penyelamat semasa dalam usaha memadam kebakaran hutan di kawasan Loji Penapisan Air Berakas, Lebuh raya Muara Tutong, RPN Kampung Rimba, kelmarin. – Gambar serahan JBP

    Dalam operasi tersebut, anggota bomba turut mengalami cabaran memadamkan api kerana kebakaran yang berlaku amat jauh di dalam hutan, bukit-bukau dan kawasan perumahan.

    Kelmarin, empat buah jentera bersama 21 orang anggota bomba dari Balai Bomba Rimba serta bantuan dari Balai Bomba Lambak Kanan dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita, dikejarkan ke insiden kebakaran hutan pada pukul 12:17 tengah hari.

    Operasi tersebut diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Pemangku SSFR Haji Mustapa bin Haji Mohamad dan disertai bersama Stesen Komander Balai Bomba Rimba, Pemangku ASFR Haji Mohammad Nor bin Haji Ahad.

    Menurut kenyataan, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut.

    Selain itu, JBP menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pembakaran secara terbuka dan demi keselamatan semua, sekurang-kurangnya 50 meter jarak keselamatan kebakaran (fire break) rumah dari pokok atau hutan.

    Menurut kenyataannya itu lagi, JBP turut menyarankan kepada orang ramai untuk membantu memadamkan kebakaran hutan atau belukar yang kecil tanpa membahayakan diri sendiri.

    Mereka turut disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, untuk menghubungi Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...