Kebakaran Kampong Ayer disengajakan?

BANDAR SERI BEGAWAN, 2000 – Dakwaan penduduk Kampong Ayer yang mengatakan ada kebakaran di sana berpunca daripada perbuatan khianat mereka yang sering menjadikan rumah kosong sebagai sasaran hampir menjadi kenyataan.

Kira-kira pukul 11:30 malam, beberapa penduduk Kampung Ujung Tanjung mengesan lelaki yang mencurigakan dan membawa sesuatu di sekitar kawasan sebuah rumah kosong.

Penduduk itu mendakwa lelaki itu masuk ke sebuah rumah kosong di kampung itu dan cuba membakarnya.

Bagaimanapun, apabila penduduk kampung cuba menyerbunya, dia berjaya menghilangkan diri di celah-celah rumah yang dibina rapat itu.

Apabila berjaya memadamkan kebakaran yang dinyalakan itu, mereka mendapati sebuah lagi rumah kosong berhampiran cuba dibakar oleh lelaki berkenaan dan mereka bergegas pula ke sana untuk memadamkannya.

Menurut seorang penduduk, lelaki itu menggunakan kotak kertas dan kain sebagai bahan untuk membakar rumah itu tetapi setelah merasakan dirinya diekori, dia melarikan diri sambil menghumbankan kotak dan kain yang masih menyala ke dalam sungai.

Penduduk kampung menelefon bomba dan polis sejurus selepas memadamkan api yang hampir membakar keseluruhan dinding rumah itu.

Pihak bomba yang dihubungi mengesahkan kebakaran itu suatu perbuatan khianat dan disengajakan berdasarkan maklumat dan bukti yang ditemui di sekitar tempat kejadian tanpa mengetahui motif sebenar ia dilakukan.

Pendedahan itu mengukuhkan dakwaan orang ramai bahawa kebanyakan kebakaran di Kampong Ayer sengaja dilakukan dengan alasan supaya mangsa kebakaran cepat diberi rumah.