Kebakaran kargo cetus gas bertoksik

WASHINGTON, 24 OKT – Pengawal pantai Kanada telah memindahkan 16 orang daripada sebuah kapal kontena yang terbakar yang mengeluarkan gas bertoksik di luar pantai Pasifik, Kanada namun ‘tiada risiko keselamatan’ bagi mereka yang berada di daratan, kata pihak berkuasa hari ini.

Kapal Zim Kingston membuat perjalanan ke Vancouver ketika api menyala, dengan kebakaran dilaporkan kepada pengawal pantai sekitar 11 malam waktu tempatan kelmarin, lapor CBC News.

“Kapal itu terbakar dan mengeluarkan gas bertoksik,” kata pengawal pantai Kanada dalam amaran navigasi dan laman webnya, menambah kapal itu akan kekal berlabuh di luar pantai British Columbia.

Kemudian, kenyataan daripada akaun Twitter pengawal pantai berkata 16 orang telah dipindahkan dari Zim Kingston ‘selepas api membakar 10 kontena’.

“Kebakaran kekal menjadi kejadian dinamik dan Pusat Kawalan Insiden telah ditubuhkan untuk mengendalikan situasi itu. Para petugas dikerahkan untuk memadam kebakaran dan mendapatkan kontena yang terjatuh dari kapal itu pada Jumaat,” menurut kenyataan awal hari ini.

Tidak jelas punca kebakaran namun pengawal pantai berkata kapal itu membawa lebih 52,000kg kimia yang ditempatkan dalam dua kontena yang terbakar, menurut CBC News. – AFP

Kepulan asap tebal muncul dari kapal kontena Zim Kingston di luar Pasifik, Kanada. – AFP