Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Sebahagian dinding tingkat bawah dan kipas ekzos dengan motor 1 kuasa kuda rosak terkena bahang api dalam kejadian kebakaran di sebuah restoran di Kuala Belait pada jam 9:31 malam kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), seramai sembilan orang anggota bomba dari Balai Bomba Belait yang diketuai ASO Aliham bin Haji Dzolkifli telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat panggilan didapati api kecil telah membakar sebuah tambak pemanggang yang menyebabkan kerosakan sebahagian dinding dapur dan kipas ekzos akibat kepanasan api.
Pekerja restoran berjaya memadamkan kebakaran awal sebelum jentera bomba sampai dan memadamkan kebakaran menggunakan tiga jenis alat pemadam api iaitu alat pemadam api jenis debu kering (4.5 kg) satu alat pemadam api jenis karbon dioksida (2.5 kg) dan satu alat pemadam api jenis air (9 liter).
Ahli bomba segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran tersebut dan menggunakan satu jet hos 64 mm ke 38 mm bagi memadam bara-bara api di tingkat bawah bangunan dengan air diperolehi dari tangki jentera bomba dan mengambil air dari pili bomba yang berdekatan.
Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai memastikan kediaman, premis perniagaan dilengkapi dengan alat memadam kebakaran ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api bagi keselamatan mereka.
