Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Orang ramai berada dalam situasi kecemasan pagi tadi apabila satu kebakaran berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), tingkat 1, bangunan berdekatan menara lama berhampiran terminal berlepas.
Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. Kakitangan lapangan terbang dan orang awam sudah pun dikeluarkan dari bangunan sebelum kereta bomba tiba di tempat kejadian.
Sebaik sahaja penggera mula berbunyi, kakitangan lapangan terbang bersama-sama dengan para penumpang dan orang ramai terus meninggalkan terminal untuk menuju ke tempat berkumpul di tempat letak kereta P2.
Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan pada jam 10:58 pagi dan sejurus selepas menerima panggilan, Balai Bomba Berakas dan Unit Operasi Wanita telah dikerahkan ke tempat kejadian dengan menggunakan tiga buah jentera dan seramai 17 orang anggota bomba bagi mengawal kebakaran berkenaan.


Operasi pemadaman api berkenaan telah diketuai oleh Pegawai Pemerintah Operasi ‘C’, SSFR Noor Aflan bin Awang Kachi.
Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati terdapatnya asap tebal dan kebakaran di tingkat 1 bangunan berdekatan menara lama berhampiran dengan terminal berlepas.
Mereka segera bertindak memadam kebakaran berkenaan bersama-sama dengan Bomba Lapangan Terbang dan api berjaya dikawal pada jam 12:15 tengah hari.
Beberapa penerbangan juga terpaksa ditangguhkan demi menjaga keselamatan para penumpang dan operasi LTAB kemudian dibuka semula pada jam 12:50 tengah hari.
































