Kebakaran meletus berhampiran loji nuklear

KYIV, UKRAINE, 14 APRIL – Kebakaran hutan meletus hari ini di kawasan dicemari berhampiran loji tenaga nuklear Chernobyl, tetapi pegawai menegaskan tidak timbulnya risiko radiasi.

Beratus anggota bomba dibantu oleh pesawat udara telah bergelut memadam beberapa kebakaran hutan di sekitar Chernobyl sejak minggu lalu. Mereka berjaya mengawal kebakaran awal, tetapi kebakaran baharu kini meletus berhampiran loji tersebut.

Volodymyr Demchuk dari Perkhidmatan Kecemasan Ukraine menegaskan situasi adalah terkawal.

“Tidak timbulnya risiko terhadap loji tenaga nuklear Chernobyl, simpanan sisa bahan api atau kemudahan kritikal lain,” kata beliau.

Perkhidmatan kecemasan berkata tahap radiasi di ibu negara Kyiv, kira-kira 100 kilometer dari selatan loji, adalah normal.

Bagaimanapun, aktivis mengingatkan kebakaran kini merebak semakin dekat dengan kemudahan simpanan bahan sisa.

Yaroslav Yemelyanenko, anggota majlis awam di bawah agensi negeri yang bertanggungjawab terhadap zon tertutup di sekitar loji, berkata salah satu kebakaran sedang melanda dalam jarak 2 kilometer dari salah sebuah depot sisa radioaktif.

“Keadaan adalah kritikal,” kata beliau di Facebook.

Semalam, polis berkata seorang penduduk tempatan membakar sampah dan tidak sengaja membakar rumput kering, sekali gus mencetuskan satu lagi kebakaran hutan. Mereka berkata beliau gagal melaporkan kebakaran kepada pihak berkuasa. – AP

Kebakaran hutan kelihatan berhampiran loji tenaga nuklear Chernobyl di Ukraine. – AP