LE LUC, PERANCIS, 17 OGOS – Ribuan orang, termasuk pelancong di tempat perkhemahan, telah dipindahkan untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran yang melanda di pusat pelancongan mewah Saint-Tropez di selatan Perancis, kata pihak bomba, hari ini.
Kira-kira 750 anggota bomba dan pesawat cuba memadamkan kebakaran dalam keadaan sukar, dengan suhu tinggi dan angin kencang.
“Ribuan orang telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi tidak ada korban jiwa,” kata jurucakap bomba, Delphine Vienco.
Bahagian selatan Perancis adalah kawasan terbaharu di sekitar lembah Mediterranean dilanda kebakaran hutan pada musim panas ini, fenomena bermusim yang menurut para saintis iklim akan menjadi perkara biasa berlaku kerana pemanasan global disebabkan perbuatan manusia.
Kebakaran besar berlaku di beberapa bahagian di wilayah Greece, Turki, Sepanyol, Portugal, Algeria dan Maghribi.
Kebakaran yang berlaku kelmarin di perhentian lebuh raya kira-kira 100 kilometer di timur laut bandar pelabuhan Toulon.
Hari ini, kebakaran tersebut telah memusnahkan lebih daripada 3,500 hektar hutan dan kawasan semak, menurut pihak bomba.
“Ini adalah kawasan yang dilindungi tetapi masih terlalu awal untuk mengira kawasan yang terbakar,” kata jurucakap itu.
Pemindahan berlaku di sekitar Saint-Tropez dan perkampungan Le Mole dan Grimaud, kata Vienco. – AFP































