HANOI, 13 SEPT – Kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri sembilan tingkat di ibu negara Vietnam mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk empat kanak-kanak, dan mencederakan lebih 50 yang lain, lapor media kerajaan hari ini.
Api telah dipadamkan dan operasi menyelamat diteruskan, lapor Agensi Berita Vietnam rasmi.
Pihak berkuasa belum mengesahkan jumlah sebenar kematian. Laporan awal mencadangkan angka kematian lebih tinggi kerana mereka yang cedera dan maut dibawa ke hospital berbeza di seluruh bandar.
Saluran televisyen nasional milik kerajaan VTV berkata empat kanak-kanak adalah antara yang terbunuh.
Kebakaran dipercayai bermula lewat semalam dan penyelamat bergelut untuk sampai ke bangunan itu di lorong sempit di selatan Hanoi. Tidak jelas berapa banyak bangunan itu telah terbakar.
Ia adalah rumah kepada 150 penduduk, dan 54 daripada 70 orang yang diselamatkan daripada kebakaran telah dimasukkan ke hospital kerana kecederaan mereka, kata media kerajaan.
Penduduk dirawat kerana terhidu asap dan mengalami kecederaan ketika mereka cuba melarikan diri dari bangunan itu.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran yang bermula sekitar tengah malam di kawasan letak kereta bangunan yang tidak mempunyai pintu kecemasan.
Sebelum ini, kebakaran maut di sebuah rumah karaoke di wilayah Binh Duong di selatan Vietnam telah mengorbankan 32 orang tahun lalu. – AP
