Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kebakaran pangsapuri ragut 19 nyawa

    NEW YORK, 10 JAN – Kebakaran besar di sebuah bangunan pangsapuri tinggi di Bronx yang menyebabkan 19 orang maut, termasuk sembilan kanak-kanak, berpunca daripada kerosakan pemanas udara elektrik, kata pihak berkuasa Bandar Raya New York.

    “Ia nampak berpunca daripada masalah pemanas udara,” lapor Sputnik, memetik kenyataan Datuk Bandar New York City, Eric Adams kepada pemberita kelmarin.

    Beliau memberitahu pemberita bahawa 19 orang telah disahkan meninggal dunia dan 63 telah cedera, termasuk beberapa yang berada dalam ‘keadaan kritikal’.

    Saksi melaporkan melihat penduduk yang terperangkap menjerit meminta pertolongan dari tingkap semasa kebakaran maut yang dikatakan oleh ketua bomba bandar tersebut berpunca daripada pemanas elektrik mudah alih.

    Pesuruhjaya Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY), Daniel Nigro mengesahkan maklumat itu pada sidang media yang sama.

    “Kebakaran bermula di sebuah apartmen dua tingkat di aras dua dan tiga bangunan itu. Ia berpunca daripada kerosakan pemanas udara, sehingga mencetuskan kebakaran di apartmen itu dan sebahagian daripada lorong laluan; malangnya pintu ke pangsapuri itu dibiarkan terbuka ketika penghuni menyelamatkan diri menyebabkan asap hitam tebal memenuhi bangunan tinggi itu dengan cepat,” jelas Nigro.

    Terdahulu, Adams mengesahkan sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk sembilan kanak-kanak, maut dalam kebakaran yang berlaku kelmarin.

    Menurut FDNY, kebakaran itu antara yang terburuk pernah disaksikan bandar New York pada zaman moden. Siasatan sedang dijalankan. – Bernama/AFP

    Kakitangan kecemasan ketika bertugas di tempat kejadian kebakaran maut di sebuah bangunan pangsapuri di Bronx kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...