Kebakaran: Penduduk dengar letupan kuat

TAWAU, 19 JULAI – Bunyi letupan kuat mengejutkan dua beradik yang berada di dapur rumah, sebelum mendapati berlaku kebakaran di hadapan rumah mereka di Kampung Titingan di sini pagi tadi.

Rusjatimah Saprin, 46, berkata sebelum kejadian, dia mahu memasak air manakala kakaknya sedang merebus Buras, sejenis makanan Bugis, untuk hidangan Hari Raya Aidiladha esok, dan pada ketika itu keadaan sunyi.

“Tiba-tiba kami dikejutkan bunyi letupan kuat seperti dari tong gas memasak, saya buka pintu dapur dan tengok ruang tamu rumah jiran terbakar, saya dengar jeritan jiran meminta tolong.

“Melihat api marak itu saya berteriak banyak kali memberitahu ‘api’ dan meminta kakak serta tiga lagi anak-anak yang ketika itu di ruang tamu untuk segera berlari keluar rumah, saya pula sempat menyelamatkan sebahagian dokumen diri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rumah beliau merupakan antara kira-kira 50 rumah yang musnah dalam kebakaran, membabitkan rumah di Blok 9, 10 serta 11 pada 9.30 pagi tadi.

Rusjatimah berkata, rumah pusaka berusia lebih 40 tahun itu menyimpan banyak memori keluarga dan menjadi tempat berkumpul terutama pada hari raya.

“Ujian ini berat, namun saya reda dan bersyukur kerana nyawa masih panjang, mungkin kami menumpang tinggal bersama anak saudara,” katanya dan menambah kejadian berlaku dalam sekelip mata dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain.

Tinjauan Bernama setakat 3 petang tadi mendapati, sebanyak 86 ketua keluarga mendaftar di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Titingan, yang dibuka untuk mangsa kebakaran. – Bernama

Kebakaran di Kampung Titigan yang memusnahkan hampir 50 buah rumah. – Bernama