Kebakaran: Penduduk dikerah pindah

MADRID, 18 OGOS – Pihak berkuasa di pulau Gran Canaria bersiap sedia memindahkan lebih ramai penduduk semalam berikutan satu lagi kebakaran yang tercetus, beberapa hari selepas kawasan itu dilanda kejadian sama.

Terdahulu lewat semalam, pihak berkuasa pulau berkata, mereka sudah memindahkan penduduk di kawasan Cross of Tajeda, satu lokasi pergunungan yang terkenal dengan pemandangan indah di tengah Gran Canaria dan hotel mewah berhampiran. Tidak lama kemudian, mereka memaklumkan bahawa penduduk di perkampungan Tejeda dan beberapa daerah lain akan turut dipindahkan.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai individu terkesan dengan kejadian terbabit tetapi Tejeda memiliki penduduk kurang daripada 2,000 orang. Pihak berkuasa memaklumkan, mereka sudah menutup semua jalan berhampiran kebakaran itu.

“Sila tinggalkan tempat ini,” kata mereka, memberi amaran. Kebakaran terbaharu berkenaan berlaku lima hari selepas pihak bomba berjaya mengawal api di kawasan sama di gugusan Pulau Canary, yang memaksa ratusan penduduk dipindahkan. Pada ketika itu, perkhidmatan kecemasan memberi amaran bahawa angin kencang dan suhu panas melampau boleh mencetuskan satu lagi kebakaran. – AFP

Kepulan asap terlihat naik ke udara semasa kebakaran yang tercetus di hutan Pajaritos di pulau Gran Canaria, kelmarin. – AFP