Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Anggota bomba dan penyelamat telah berjaya memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah stor di belakang sebuah rumah di Kampung Tanjong Nangka pada 27 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini, seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh DSO Yusof bin Bujang dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 7:02 malam.
Kenyataan menyatakan bahawa dalam kejadian itu, api kecil membakar keseluruhan sebuah stor di belakang rumah berukuran 5 meter panjang dan 3 meter lebar.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai set alat pernafasan dan mengeluarkan dua hos untuk memadam kebakaran dengan air diperoleh dari tangki jentera bomba serta api dapat dikawal dalam masa 2 minit.
Stor itu berdindingkan zink dan beratapkan spandik di mana dalam kejadian itu, tidak ada korban jiwa serta kecederaan berlaku manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan dilengkapi dengan alat pemadam api ringan jenis debu kering 2kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar di tempat yang lebih teratur dan penjagaan yang baik.
