PARA peminat francais permainan video The Legend of Zelda yang cukup popular dimainkan bagi pelantar Nintendo setentunya berasa teruja dengan kehadiran siri terbaru daripada francais itu.
The Legend of Zelda: Breath of Wild (BOTW) mengambil tempat pada kisah selepas kebangkitan Link daripada sumpahan tidurnya selama 100 tahun.
Selepas bangkit daripada tidur, Link jelas berasa sangat terkejut tatkala melihat dan menyedari bahawa Kingdom of Hyrule berada di ambang kemusnahan berikutan setiap perbuatan yang dilakukan oleh Calamity Ganon.
Justeru kini telah tiba bagi peranan pemain untuk mengawal karakter Link bagi mengembalikan semula kegemilangan Kingdom of Hyrule sekali gus menghidupkan suasana aman damai seperti sediakala.
Sebelum ini, BOTW telah berjaya menerima beberapa anugerah yang berprestij. Antaranya ialah Permainan Video Paling Dinantikan dalam The Game Awards 2016, Permainan Video konsol Nintendo Wii U Terbaik dalam Gamescom 2016, Permainan Video Aksi/Pengembaraan Terbaik dalam GameCritics Award 2016 dan lain-lain.
Pada dasarnya dunia yang ditonjolkan di dalam BOTW adalah 12 kali ganda lebih besar daripada The Legend of Zelda: Twilight Princess yang pernah dikeluarkan pada tahun 2006.
Pemain harus memakan epal, cendawan atau makanan lain demi memastikan tahap kesihatan karakter yang dimainkan sentiasa berada dalam keadaan mantap di sepanjang pengembaraan.
Gaya permainan di dalam BOTW ini lebih menerapkan konsep Role Playing Games (RPG) di mana ia bermula dengan menampilkan karakter tanpa sebarang kelengkapan.
Justeru, pemain harus bijak melengkapkan diri dengan pakaian dan senjata yang ditemui di sepanjang persekitaran pengembaraan atau yang ditinggalkan oleh pihak musuh yang berjaya ditum-paskan.
Dari segi visual yang ditampilkan di dalam BOTW adalah sangat hebat kerana teknik cel-shaded yang diaplikasikan dalam permainan video ini telah menonjolkan kesan karakter kartun yang ditampilkan kelihatan seolah-olah berada di dalam dunia sebenar dan sangat realistik.
Pemain boleh melakukan pelbagai aksi menarik seperti berlari, melompat, memanjat, berenang, memasak, berlayar di laut, paragliding, menghendap, menggelungsor dan banyak lagi di sepanjang pengembaraan yang sangat menarik ini.
Di samping itu, para pemain juga berpeluang untuk mengharungi pelbagai cabaran mini seperti Cryonis Trial membolehkan para pemain untuk mencipta tiang ais melalui kebolehan Magnesis yang dimiliki untuk memindahkan objek dari logam dan kebolehan Stasis pula berupaya untuk membekukan sesuatu objek.
Faktor keadaan dan masa yang berlangsung di sepanjang BOTW juga dapat memberikan sebarang kesan kepada pengembaraan Link di dalam permainan video ini.
Sekiranya, pemain memerlukan sebarang bantuan di sepanjang pengembaraan ini dengan mudahnya anda boleh menyeru amiibo Wolf Link pada gamepad Wii dan setentunya ia akan muncul sekaligus memberikan bantuan.
Maka, peminat-peminat francais The Legend of Zelda setentunya tidak akan ketinggalan untuk mendapatkan The Legend of Zelda: Breath of the Wild (BOTW) yang dibina oleh Nintendo EPD untuk pelantar Wii U dan Nintendo Switch.