Kebanyakan kes tanpa simptom, import dan kontak rapat

Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Sejumlah 46 peratus kes positif COVID-19 di negara ini merupakan kes yang dikesan tanpa atau tidak menunjukkan sebarang simptom, namun bagi yang mempunyai simptom, mereka akan mengalami gejala seperti batuk, demam panas, selesema, sakit kepala, sakit leher, sejuk, lemah dan sakit badan.

Manakala jangkitan pula kebanyakannya daripada kes-kes diimport dan melalui kontak-kontak kes terdekat, dedah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengongsi bahawa semenjak awal Januari, sebanyak 5,656 ujian makmal bagi koronavirus itu dijalankan, manakala daripada bilangan positif, 77 orang adalah lelaki dan 49 lagi perempuan.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato sekali lagi menekankan betapa pentingnya untuk semua pihak, termasuk orang ramai sama-sama meneruskan langkah-langkah kewaspadaan serta tidak leka dan lalai dengan amalan-amalan kebersihan diri dan penjarakkan sosial atau fizikal (social or physical distancing), sebagaimana yang telah dinasihatkan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan kepada sesiapa yang telah diberi kebenaran untuk menjalani pengasingan diri di rumah untuk mematuhi garis panduan pengasingan diri seperti sentiasa berada di dalam bilik dan tidak bergaul dengan ahli keluarga yang lain, di samping tidak keluar dari rumah untuk mengelakkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga lain sekiranya individu berkenaan didapati positif COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Osman pada sidang media mengenai COVID-19 di Dewan Al-’Afiah, kelmarin.

“Alhamdulillah, salah satu kes yang didapati positif adalah hasil aplikasi COVID-19 Self-Assesment Tool melalui healthinfo.gov.bn sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua baru-baru ini.

“Kementerian juga ingin menyarankan agar orang ramai untuk menggunakan aplikasi tersebut dalam usaha kementerian memantau serta menilai keadaan COVID-19 di negara ini di samping membantu dalam membuat perancangan dalam menangani situasi COVID-19,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Pada sidang media itu, Yang Berhormat Dato sekali lagi merakamkan penghargaan di atas usaha semua pihak dalam mematuhi saranan-saranan dan nasihat-nasihat yang telah diberikan. Ini telah sedikit sebanyak membantu usaha pihak kerajaan mengawal wabak ini. Kementerian Kesihatan juga merakamkan berterima kasih kepada semua agensi dan sukarelawan yang telah banyak membantu setakat ini.

Ini termasuklah ahli-ahli barisan hadapan (frontliners) lain seperti Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, kru Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam, pengendali Talian Kesihatan 148 serta sukarelawan-sukarelawan dari pelbagai agensi, seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta persatuan-persatuan bukan kerajaan yang telah sama-sama bertungkus-lumus bagi mengawal wabak COVID-19 di negara ini.