Kebanyakan negara alami defisit – Mustapa

KOTA BHARU, 18 APRIL – Kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit besar dalam belanjawan berikutan pandemik COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata bagaimanapun, nisbah defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu enam peratus merupakan antara terendah berbanding negara-negara lain.

“Realitinya seluruh dunia menghadapi kekangan serta defisit besar malah negara-negara pengeluar minyak pun menghadapi defisit. Ada sesetengah negara mengalami defisit dalam belanjawan mereka sekitar 10 peratus dan 15 peratus pun ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Sesi Libat Urus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan di Wisma Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, kebanyakan negara menghadapi masalah kewangan kerana berdepan dengan cabaran ekonomi serta krisis kesihatan terbesar yang pernah melanda dunia.

“Itu realitinya hari ini dan perkara ini bukan boleh disorok. Ini cabaran ekonomi terbesar dengan apa yang melanda di Malaysia dan negara lain…Kita berhutang disebabkan hasil jatuh dan pada masa sama, keperluan kita meningkat maka perlu berbelanja lebih kerana keutamaan kerajaan adalah menjaga keperluan rakyat,” katanya. – Bernama

Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) berkata kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit besar dalam belanjawan berikutan pandemik COVID-19 semasa melawat gerai pameran pada sesi libat urus banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan di bilik Mesyuarat Wisma Persekutuan kelmarin. – Bernama