Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Kebenaran beraya beri kelegaan pengusaha lemang daun lerek

    PEKAN – Kebenaran untuk pulang berhari raya dan mengadakan rumah terbuka tahun ini, memberi kelegaan kepada pengusaha lemang daun lerek di sini selepas dua tahun tidak berpeluang mencari pendapatan tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri. 

    Wan Mohd Jabrullah Wan Zulkefli, 33, berkata juadah tradisional itu menjadi rezeki buat beliau dan lima sahabat karib yang berusia antara 23 dan 44 tahun, setiap kali raya sejak tujuh tahun lepas, dan sebaik sahaja kebenaran berhari raya diumumkan, semua mereka tidak putus-putus menerima tempahan. 

    “Kami sudah membakar lebih 1,000 batang lemang  tahun ini bermula Khamis lepas hingga malam sebelum raya kerana ada yang mahu menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa atau membawanya pulang ke kampung… Alhamdulillah kerana akhirnya kami boleh mencari duit raya semula. 

    “Kami bersengkang mata untuk menyiapkannya pada tahun ini kerana raya disambut lebih awal daripada jangkaan. Sudah tentu kami perlu mengutamakan tempahan orang sebelum menyiapkan lemang rumah sendiri,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Peramu Jaya di sini. 

    Ditanya mengenai keistimewaan lemang mereka, Wan Mohd Jabrullah berkata lemang mereka menggunakan daun lerek, iaitu daun yang diperoleh dari hutan bagi menggantikan daun pisang yang lazimnya dijadikan sebagai pengalas buluh dalam pembuatan juadah itu. 

    Pengusaha Lemang Daun Lerek, Wan Mohd Jabrullah Wan Zulkefli, 33, (kiri) bersama rakan-rakannya giat menyiapkan lemang daun lerek yang ditempah pelanggan di rumahnya di sini. – Bernama
    Pengusaha Lemang Daun Lerek, Wan Mohd Jabrullah Wan Zulkefli, 33, (kiri) bersama rakan-rakannya giat menyiapkan lemang daun lerek yang ditempah pelanggan di rumahnya di sini. – Bernama
    Wan Mohd Jabrullah Wan Zulkefli menambah santan ke dalam lemang daun lerek yang sedang dibakar ketika menyiapkan tempahan pelanggan. – Bernama

    Jika sebelum ini mereka mencari daun lerek sendiri, namun disebabkan tempahan yang banyak kali ini, daun tersebut perlu ditempah daripada masyarakat orang asli sekitar Sungai Lembing, Kuantan pada harga 50 sen sekeping. 

    Idea menggunakan daun lerek tercetus apabila seorang rakan mencadangkan penggunaannya kerana lebih senang diproses memandangkan ia tidak perlu dilayur seperti daun pisang selain mudah dipotong mengikut ‘tulang daun’ untuk disesuaikan dengan panjang buluh. 

    “Lemang daun lerek juga mudah dinikmati kerana ia bertangkai, membolehkan pembeli hanya perlu menarik isi lemang keluar tanpa perlu membelah buluh,” katanya. 

    Walaupun lebih mudah, Wan Mohd Jabrullah berkata mereka perlu sentiasa memastikan pangkal daun lerek terendam dalam air supaya daun tidak layu sementara menanti proses pembuatan lemang, selain pulut dan santan perlu diisi segera selepas buluh dialas bagi mengelakkan daun kecut akibat ketiadaan air.

    Daun lerek yang sudah dipetik boleh bertahan selama seminggu jika dijaga dengan baik. Bagi memudahkan proses penyediaan, Wan Mohd Jabrullah berkata mereka membahagikan tugas dengan seorang akan mengalas buluh lemang disusuli tiga lagi akan mengisi pulut yang telah direndam bersama santan manakala seorang lagi bertanggungjawab membakar lemang.

    Berikutan permintaan tinggi tahun ini, Wan Mohd Jabrullah berkata setakat ini mereka telah menggunakan 200 kilogram beras pulut dan 600 biji kelapa selain terpaksa mendapatkan buluh lemang dari Muadzam Shah, Rompin kerana tidak mempunyai masa untuk mencarinya sendiri. 

    “Selain daun lerek, resepi lemang kami sama seperti resepi tradisional… hanya beras pulut, santan, garam dan gula. Namun yang paling penting adalah kuantiti beras pulut dan santan perlu tepat bagi memastikan lemang cukup berlemak selain cara membakar juga perlu dijaga supaya masak sekata. 

    “Untuk santan, kami memerah sendiri kelapa kerana mahu hanya santan segar digunakan. Sebab itu, kami tidak memerah santan dalam kuantiti banyak, sebaliknya dibuat secara berperingkat supaya ia kekal segar dan lemang boleh bertahan lama,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...