Kebenaran haji, umrah akan dirundingkan

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kebenaran bagi jemaah di negara ini untuk mengerjakan haji dan umrah akan dilihat dan dirundingkan di peringkat Majlis Ugama Islam yang akan diumumkan keputusannya dalam sedikit masa lagi.

Kerajaan Arab Saudi telah membukakan sempadannya kepada para pelancong yang boleh menggunakan visa umrah dengan syarat tertentu termasuklah memerlukan seseorang itu divaksinasi lengkap menggunakan vaksin yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung petang tadi.

Menyentuh mengenai ibadah haji di mana pada musim haji yang lepas, negara tidak menghantar jemaah atas sebab program vaksinasi kebangsaan di negara ini baru sahaja bermula pada ketika itu, selain daripada menghadapi kesuntukan masa untuk menyediakan jemaah dan pasukan kesihatan yang akan mengiringi jemaah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama turut menerangkan lanjut bahawa pada masa ini, keadaan sudah berubah, di mana orang ramai telah menjalani vaksinasi namun yang belum jelas pada masa ini ialah mengenai kawalan rentas sempadan.

Perkara ini akan dilihat terlebih dahulu di mana perkembangan haji dan umrah adalah bergantung kepada keadaan yang akan dilihat dari segi fasa-fasa yang akan lalui ke arah endemik dan sebagainya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menjelaskan mengenai kebenaran mengerjakan ibadah haji dan umrah bagi jemaah di negara ini pada sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.