Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Kebenaran untuk ibu bapa yang ingin terus bekerja dari rumah (WFH) bagi kepentingan tertentu adalah tertakluk kepada operasi setiap sektor kerajaan dan swasta di mana mereka bertugas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu ketika mengulas mengenai kebenaran tahap pertimbangan atau kelonggaran golongan ibu bapa untuk bekerja dari rumah khususnya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil di rumah dan tidak dapat dihantar ke pusat penjagaan (Day Care) dan bagi mereka yang mempunyai kepentingan pemantauan anak-anak yang masih menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian pada ketika ini.
“Pada masa ini, negara masih meniti Fasa Awal Endemik dan dengan adanya tempoh pelanjutan selama sebulan lagi ini, maka ini bermaksud kebenaran sebanyak 75 peratus masih diteruskan untuk para pekerja berada di premis masing-masing dan ia tertakluk kepada saiz premis-premis tersebut,” tekan beliau lagi semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut berkata, menjadi tanggungjawab mana-mana majikan untuk membuat pertimbangan tertentu bagi golongan pekerja yang benar-benar memerlukan lebih-lebih lagi yang mempunyai anak-anak kecil.
Permasalahan berkenaan dibangkitkan oleh salah seorang pengamal media, dengan mengambil kira pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta pada masa ini telah kembali bekerja di pejabat masing-masing di mana terdapat beberapa cabaran terhadap sebilangan ibu bapa terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil yang tidak dapat dihantar ke Day Care lebih-lebih lagi memandangkan pihak pusat penjagaan berkenaan hanya membenarkan bagi anak-anak yang berusia dua tahun ke atas sahaja.
Begitu juga bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih mengikuti sesi persekolahan secara maya yang memerlukan mereka berada di rumah khususnya bagi kepentingan pemantauan ketika pembelajaran.