Kebenaran keluar masuk subbenua India, Indonesia mulai 1 Nov

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Pertimbangan keluar dan masuk bagi perjalanan mustahak (essential travel) dari Republik India dan empat buah negara subbenua India serta Republik Indonesia kini dibolehkan bermula 1 November ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Apong (gambar) mengumumkan perkara itu atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah mengambil kira penilaian risiko Kementerian Kesihatan terhadap situasi pandemik COVID-19 di rantau ini dan global dari semasa ke semasa. Kebenaran juga merujuk kepada siaran-siaran media Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikeluarkan pada tarikh 17 Mei 2021 dan 19 Julai 2021, jelasnya.

Yang Berhormat Pehin menekankan kebenaran yang dimaksudkan ialah kebenaran perjalanan masuk dan keluar negara bagi warga asing dari atau menuju lima negara subbenua India iaitu India, Nepal, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh bagi perjalanan masuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua tersebut dan perjalanan keluar dari Negara Brunei Darussalam ke subbenua India.

Manakala bagi perjalanan masuk semua warga asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di Indonesia sama ada secara penerbangan langsung (direct flight) mahupun persinggahan (transit) melalui negara lain juga dibenarkan.

“Warga asing yang telah diberikan kebenaran awal dan ditarik balik susulan pengumuman terdahulu, dikehendaki mengemukakan semula perjalanan masuk mereka sebelum memasuki negara ini,” jelas Yang Berhormat Pehin.

“Perjalanan mustahak yang dimaksudkan adalah bagi pemegang pas kerja yang sah atau dikeluarkan Lesen Pekerja Asing oleh Jabatan Buruh. Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dan Task Force Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.