Kebenaran rentas sempadan ditangguh lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan dan kebenaran kemasukan dan keluar negeri bagi lima buah negara di Subbenua India telah dilanjutkan lagi selama 15 hari bermula 16 hingga 30 September ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya, hari ini, atas menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Penangguhan itu juga termasuk bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada.

Ini termasuk bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan ini bagi penghantaran bekalan import yang penting.

Di samping itu, penangguhan tersebut juga termasuk bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan yang dibuat oleh runners berdaftar di negara ini serta keluar dan masuk negeri secara ulang alik melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

Penangguhan bagi lima buah negara di Subbenua India itu termasuk perjalanan masuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua India (Republik India, Republik Demokratik Persekutuan Nepal, Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka, Republik Islam Pakistan dan Republik Rakyat Bangladesh).

Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Selain itu, kebenaran juga ditangguhkan bagi perjalanan warga asing yang berlepas dari
Subbenua India tersebut menerusi Brunei secara transit dan perjalanan keluar menuju ke Subbenua India atas apa jua sebab atau urusan.

Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negeri serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di negara ini dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap.

Penangguhan kebenaran juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Brunei dari Subbenua India melalui penerbangan yang telah dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik.

Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa.

Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada [email protected]