Keberangkatan Negara yang Di-Pertuan Agong M’sia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rombongan berangkat tiba di Bandar Seri Begawan, hari ini, bagi mengadakan Keberangkatan Negara ke Negara Brunei Darussalam selama tiga hari hingga 20 Ogos.

Berangkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Juga berangkat selaku kerabat pengiring diraja ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Turut hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda berdua ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku menteri pengiring dan Isteri; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri serta Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha dan isteri.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ismail bin Haji Salam.

Sebelum berangkat meninggalkan lapangan terbang, Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan melintasi perbarisan kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Keberangkatan negara Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dan Baginda Raja Permaisuri Agong ini mencerminkan hubungan baik dan keakraban yang telah kian lama terjalin antara kerabat diraja dan rakyat Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Pada awal 2019, Baginda berdua juga telah berkenan mengadakan keberangkatan muhibah ke Negara Brunei Darussalam.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menjunjung keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengalu-alukan Baginda Yang di-Pertuan Agong, Baginda Raja Permaisuri Agong, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Turut berangkat ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna. – Gambar oleh Sim Y.H.