Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Keberanian Haziq, jadi role model para belia

    Oleh Syahmi Hassan

    Disebabkan keberanian dan sikap tidak camah mata beliau, nama Haziq Dasuki bin Abdul Qawi @ Charlton Louie Chan Yew Fai, 19, kini menjadi bualan di mana-mana sehinggakan beliau dianggap sebagai role model para belia.

    Tindakan beliau berjaya menolong seorang anak damit yang ketika itu dalam keadaan tidak sedar di The Mall, Gadong, baru-baru ini, kini menjadi tular di media sosial.

    Sehubungan itu, wartawan Media Permata, telah berkunjung ke Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, untuk menemubual beliau bagi mendapatkan keterangan lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

    Haziq Dasuki, yang merupakan seorang pelajar Paramedik di Politeknik Brunei (PB), menjelaskan bahawa pada ketika itu, beliau sedang berjalan bersama rakan-rakannya untuk makan malam di sana. Secara tiba-tiba, semasa mereka menikmati makanan terdengar suara seorang perempuan memanggil nama cucunya.

    “Dari sana, orang ramai mula berkumpul mengelilingi mereka. Saya ketika itu masih berdiam diri dan memikirkan apa yang berlaku sebenarnya,” kata Haziq Dasuki.

    Haziq Dasuki (kiri) dan pensyarahnya, Muhammad Ulul Azmi semasa ditemui Media Permata.
    Haziq Dasuki, seorang ‘role model’ yang patut dicontohi oleh para belia atas keberanian beliau tampil ke hadapan menyelamatkan nyawa seorang bayi.

    Setelah, beliau mendengar bahawa seorang anak damit dalam keadaan tercekik, sebagai pelajar paramedik yang sudah mempelajari pertolongan cemas, Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan sebagainya, membuatkan beliau memutuskan untuk memberi pertolongan.

    “Apabila saya tiba di sana, saya memperkenalkan diri sebagai seorang pelajar paramedik yang memiliki sijil CPR dan tercekik,” tambahnya sambil mengatakan beliau memeriksa keadaan anak damit berkenaan dari segi fizikal, degupan jantung dan pernafasannya.

    “Degupan jantung anak damit tersebut begitu laju dan pernafasannya juga tidak teratur.

    Saya kemudian memutuskan untuk meletakkan anak damit berkenaan di pangkuan saya dan mula memukul perlahan belakang anak damit itu dan setiap lima kali memeriksanya jika memberikan sebarang respon.

    “Akhirnya, setelah berusaha membantunya air liur mula keluar dan akhirnya anak damit tersebut mula bergerak secara perlahan dan matanya juga mula kembali normal,” kongsinya kepada penulis.

    Haziq Dasuki kemudiannya menyarankan kepada keluarga mangsa agar pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

    Semasa temu bual itu juga, penulis berkesempatan bertanya adakah beliau pernah mengalami situasi serupa sebelum ini, beliau menyatakan ini merupakan kali pertama beliau tampil ke hadapan untuk menolong. Namun sebelum ini, beliau hanya pernah melihat di depan mata orang tua yang tercekik selepas memakan kuih.

    “Ada juga pada ketika dahulu, pak cik saya ketika itu berjalan dengan nenek saya yang tiba-tiba pengsan. Mujurlah, ada pak cik saya yang lain yang mampu untuk membuat CPR.

    “Peristiwa-peristiwa seperti inilah yang membuatkan saya bermotivasi untuk belajar mengenai CPR agar saya dapat membantu orang lain yang memerlukan bantuan, dan inilah juga salah satu sebabnya saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang paramedik.

    “Di samping itu juga, dengan memiliki pengetahuan tentang Paramedik ini, saya dapat menyumbangkan bantuan kepada masyarakat,” jelasnya.

    Haziq Dasuki juga mengongsikan, beliau turut terinspirasi untuk memberikan bantuan kepada masyarakat berikutan bantuan dan layanan para doktor dan jururawat terhadap adik-beradik yang mengalami masalah kulit (ekzema) yang teruk.

    “Apa yang dilakukan oleh mereka seperti memberikan perubatan, menjaga dan melayan adik-adik saya memberikan saya inspirasi untuk menolong orang-orang yang memerlukan.

    Itulah salah satu lagi sebabnya kenapa saya ingin menjadi seorang paramedik atau jururawat,” kongsi Haziq Dasuki.

    Beliau percaya belia-belia di luar sana terutama para pelajar perlu untuk belajar sekurang-kurangnya kemahiran asas agar mereka mampu menolong orang lain dan keluarga mereka sendiri jika mereka memerlukan bantuan.

    “Bukan sahaja pelajar, tidak kira berapa umur kita, walaupun bukan seorang paramedik, jururawat atau doktor, awda masih dapat belajar kursus ini kerana ianya bukan sahaja untuk pekerja perubatan tetapi juga untuk sesiapa sahaja,” tekannya.

    Media turut berkesempatan menemu bual pensyarah Program Paramedik di PB, Muhammad Ulul Azmi bin Deli, 33, mengongsikan bahawa program kursus Paramedik telah pun berusia 10 tahun dan sejak itu mereka telah melahirkan lebih 80 graduan paramedik.

    “Namun jumlah paramedik di Brunei adalah begitu rendah, hanya dalam 180 orang, berbanding dengan jumlah penduduk lebih 450,000 orang,” tambahnya.

    Oleh itu, beliau menyarankan kepada orang ramai untuk mempelajari ilmu-ilmu pertolongan kecemasan kerana ia sangat berguna bukan sahaja kepada orang awam malah untuk keluarga.

    “Ilmu pertolongan cemas dan CPR boleh dipelajari di Kementerian Kesihatan dan malah pihak-pihak swasta juga seperti Jerudong Park Medical Centre (JPMC). Oleh itu orang ramai yang berminat disarankan untuk mengunjungi mereka dan mempelajari ilmu pertolongan cemas ini,” katanya.

    Menyentuh mengenai kejadian tersebut, Muhammad Ulul Azmi menambah bahawa apabila seseorang berhadapan dengan sawan, ianya juga akan memberi kesan saluran pernafasan juga, dan apa yang Haziq Dasuki lakukan adalah betul untuk memastikan saluran pernafasan anak damit tersebut lancar de-ngan memukulnya belakang anak damit berkenaan secara perlahan.

    Apabila ditanya mengenai perasaannya setelah berjaya menyelamatkan seorang anak damit, Haziq Dasuki mengongsikan beliau berasa lega kerana berjaya menyelamatkan anak damit tersebut.

    “Banyak yang mengatakan saya seorang wira, namun saya tidak berkata demikian kerana sebagai seorang pelajar paramedik memang sudah menjadi tanggungjawab untuk melakukannya memandangkan saya mempunyai ilmu pengetahuan mengenainya,” jelas Haziq Dasuki.

    “Sebagai seorang pensyarah, saya berasa bangga terhadap tindakan yang dilakukan oleh beliau kerana menampilkan beliau kehadapan untuk membantu orang yang memerlukan terutamanya dalam kejadian seperti ini,” kata pensyarah paramedik tersebut.

    “Diharap perkara ini akan membuka mata orang awam untuk membantu orang lain, bukan hanya kerana seseorang itu seorang pelajar paramedik tetapi semua orang boleh membantu asalkan mereka terlatih dalam bidang pertolongan kecemasan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...