Keberhasilan ivermectin rawat COVID-19 belum terbukti

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Ubat ivermectin tidak memberikan statistik yang cukup besar mengenai keberhasilan dalam merawat COVID-19, berdasarkan kajian dan penyelidikan saintifik yang telah dibuat di Amerika Syarikat dan Eropah.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji
Jaafar menjelaskan, setiap ubat mempunyai kesan sampingannya sehingga ivermectin belum disenaraikan sebagai ubat yang dapat mengatasi wabak COVID-19.

Perkara ini dijelaskan oleh Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, ivermectin adalah ubat yang digunakan untuk mengubati parasit seperti cacing di mana jika ubat tersebut digunakan untuk merawat 100 pesakit hasilnya mungkin 20 orang saja yang dapat sembuh.

“Banyak hospital di luar negara menyuarakan mengenai ubat ini dan ia juga menjadi perhatian yang semakin meningkat sehingga terdapat sekumpulan hospital di luar negara yang menyatakan ubat ini dapat membantu untuk mengekang COVID-19,” tambah Yang Berhormat Dato.