Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Rezeki menempati fokus yang amat luas, di mana ia bukan semata-mata berbentuk wang ringgit dan komoditi barangan, tetapi rezeki merangkumi jiwa yang tenang, hati riang, lapang fikiran, sihat tubuh badan, mempunyai pekerjaan, pendidikan yang baik, rumah tangga aman dan pelbagai lagi kebajikan.
“Rezeki juga dikategorikan kepada dua iaitu rezeki luas dan rezeki sempit yang mana rezeki yang luas bermaksud rezeki yang disenangi sementara rezeki sempit pula tidak disenangi.”
Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menekankan perkara ini ketika menyampaikan ceramah perdana di dalam Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul Al-Quran tahun 1441 Hijrah yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin, “Rezeki yang kita mahukan, cuma rezeki yang berkat, bukan sebarang rezeki, kerana rezeki yang berkat itu ibarat kenderaan yang selamat untuk menyampaikan kita ke destinasi yang selamat di dua-dua buah negara sekali gus, iaitu negara dunia dan negara akhirat.”
Sebagai seorang manusia, tegasnya lagi, semua orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan apabila disebut bahagia, ia adalah nikmat dan nikmat itu juga rezeki.

“Apa saja yang membawa bahagia adalah rezeki. Wang ringgit halal – rezeki! Kesihatan – rezeki! Rumah kediaman – rezeki! Pakaian – rezeki! Makanan – rezeki! Kenderaan – rezeki! Pekerjaan – rezeki! Rumah tangga – rezeki! Anak pinak – rezeki! Perpaduan – rezeki! Keamanan – rezeki! Semua itu berperanan untuk menjana bahagia, mencipta bahagia.
“Tetapi bagaimana rezeki-rezeki ini mampu untuk menciptakan bahagia? Kerana semua orang tahu, bukan semua pemilik-pemilik rezeki itu hidup bahagia,” tegasnya.
Berapa ramai orang kaya tetap tidak mengecap bahagia, berapa ramai orang sihat, tubuh badan saja yang nampak sihat, tetapi rohani mereka sakit dan sama juga berapa banyak rumah-rumah kediaman yang hebat-hebat, tetapi penghuninya menderita, tegasnya.
“Dari sinilah wajar untuk diungkap ungkapan ini: ‘Menjana Keberkatan Rezeki’. Ertinya kita hanya berhajat untuk membina rezeki yang berkat, kita mahu untuk mendapat rezeki yang berkat.”
Rezeki berkat itu boleh saja disebut sebagai rezeki luas atau rezeki halal atau rezeki yang menyenangkan atau rezeki yang membawa bahagia.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, menginfak dan membelanjakan harta pada jalan Allah itu ada pelbagai cara antaranya dengan menunaikan nafkah keluarga, membayar gaji pekerja, menderma untuk kebajikan, bersedekah kepada fakir miskin, membina masjid, menolong orang-orang susah atau daif dan banyak lagi.
“Ini semua perbuatan di jalan Allah dan bukan ada rezeki tapi menggunakannya pada perkara-perkara yang ditegah oleh agama seperti pembaziran dan lain-lain seumpamanya,” jelasnya.
Katanya lagi, “rezeki yang paling agung dan tertinggi ialah syurga yang akan dikurniakan oleh Allah kepada para hambaNya yang taat.”
Dalam ceramah perdana berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyeru untuk sama-sama mencapai laba keberkatan daripada Al-Quran dan para ibu bapa khasnya, mudah meraih laba ini dengan mengajar atau memberi pendidikan Al-Quran kepada anak-anak.




























