Kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Sempena Hari Tindakan Sungai Antarabangsa, Green Brunei telah mengadakan kempen kebersihan di sekitar Kampung Sungai Kebun, pagi tadi. Lebih 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada ahli-ahli Green Brunei, belia dari pelbagai institusi dan lepasan sekolah, anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Kebun, penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan kampung itu.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku pengasas Green Brunei dan Ketua Kampung Sungai Kebun, Haji Marali bin Matzin.

Green Brunei yang merupakan salah sebuah jawatankuasa induk kebersihan Kampong Ayer kerap mengadakan aktiviti kesukarelawan seumpamanya untuk menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan kampung yang menjadi tarikan pelancong.

Lebih 70 plastik sampah berjaya dikumpulkan pada kempen yang turut disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Balai Bomba Sungai Kebun dan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun dan Q-hanz Cafe berkenaan.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bergambar ramai bersama sukarelawan yang terlibat dalam kempen kebersihan di sekitar Kampung Sungai Kebun, kelmarin.