Kebiasaan baharu bermula hari ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Negara Brunei Darussalam memulakan pelaksanaan Pelan De-Escalation Tahap Lima – Kebiasaan Baharu (New Normal) esok (8 Mac), dengan kebenaran bagi perhimpunan ramai dinaikkan kepada 1,000 orang berbanding 350 orang sebelum ini dalam hampir semua aktiviti dengan syarat ia mematuhi garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian berkenaan.

Pelaksanaan pelan baharu itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Dato, ia mengambil kira situasi COVID-19 di negara ini yang dalam keadaan terkawal dan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa garis panduan tertentu bagi kesemua aktiviti akan dikeluarkan oleh kementerian-kementerian berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan. Perubahan-perubahan yang disebutkan itu, jelasnya lagi, adalah bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam negara sahaja dengan mengekalkan sekatan perjalanan rentas sempadan yang sedia ada pada masa ini untuk mengawal dengan ketat kemungkinan berlakunya kemasukan semula jangkitan COVID-19 ke negara ini.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global serta melaksanakan penilaian risiko secara berterusan bagi mempertimbangkan pengurangan langkah-langkah seterusnya.

Gambar fail salah sebuah kompleks membeli-belah di negara ini. Kemasukan ke pameran jualan atau bazar diadakan di kompleks membeli-belah seumpamanya dihadkan 1,000 orang pada satu-satu masa.

“Jika situasi wabak kembali membimbangkan, Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk memperketat semula langkah-langkah penjarakan sosial yang perlu dilaksanakan untuk mengawal wabak tersebut,” tegasnya di sidang media itu.

Sehubungan itu, beberapa pengumuman pelan pelonggaran berdasarkan kebiasaan baharu diumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) hari ini termasuk bazar, pawagam, restoran, dan pengangkutan.

Bagi pameran jualan atau bazar yang dikeluarkan oleh KHEDN dikehendaki menyediakan kod QR BruHealth yang khusus dan seterusnya mencetak kod QR tersebut dalam jumlah yang mencukupi dan dilekatkan di beberapa kawasan yang sesuai seperti kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis. Bagi memudahkan pengunjung yang tidak mempunyai kemudahan untuk mengimbas kod QR tersebut, pihak penganjur adalah dikehendaki menyediakan buku daftar bagi mencatat butiran peribadi pengunjung.

Kemasukan ke pameran atau bazar dihadkan kepada 1,000 orang pada satu masa dan pengurus premis atau penganjur digalakkan menyediakan pensanitasi tangan, pengendali atau penyedia makanan jualan di bazar digalakkan menggunakan penutup mulut dan hidung di samping memeriksa suhu pengunjung dan pekerja di bazar.

Penganjur yang mengadakan pameran jualan, bazar atau ekspo yang melibatkan bidang kuasa KHEDN juga hendaklah menghadapkan permohonan kepada pihak kementerian melalui sistem Onebiz di mana sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi talian
Darussalam 123.