Kebimbangan gelombang kedua virus di Australia

MELBOURNE, 22 JUN – Warga Australia hari ini diberi amaran untuk tidak melakukan perjalanan ke Melbourne, ketika kota kedua terbesar di negara itu memperketat sekatan koronavirus di tengah-tengah kebimbangan berlakunya gelombang kedua wabak ini.

Negeri Victoria telah mencatat lebih dari 110 kes dalam tempoh seminggu terakhir – kebanyakannya mereka berada di Melbourne – mendorong para pemimpin wilayah lain untuk memberi amaran agar tidak mengunjungi enam ‘tempat bahaya’ virus di bandar ini.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, berkata sesiapa yang berhasrat untuk mengunjungi bandar itu harus ‘mempertimbangkan semula rancangan mereka’.

“Kami menasihatkan agar orang ramai tidak membuat perjalanan ke Melbourne melainkan mereka terpaksa melakukannya,” katanya.

Para pegawai di Victoria telah menghentikan rancangan untuk membenarkan peningkatan kapasiti pengunjung di restoran dan kafe, dan juga menerapkan peraturan yang lebih ketat mengenai perhimpunan di rumah sebagai tindak balas terhadap wabak tersebut.

Seorang pembersih (kanan) ketika membersihkan tiang lampu isyarat di pusat perniagaan Melbourne pada 17 Jun lalu. Warga Australia diberi amaran untuk tidak melakukan perjalanan ke Melbourne, ketika kota kedua terbesar di negara itu memperketat sekatan koronavirus di tengah-tengah kebimbangan berlakunya gelombang kedua wabak tersebut. – AFP

Ini adalah langkah utama pertama mengenai pelonggaran sekatan, kerana seluruh negara terus mencatat jumlah kes baharu yang rendah dan berusaha untuk memulihkan ekonomi.

Walaupun jumlahnya tetap rendah di Melbourne, lonjakan kadar penyebaran komuniti – kes-kes yang tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa – telah menimbulkan kebimbangan bahawa virus itu boleh merebak.

Ketua pegawai kesihatan negeri, Brett Sutton, berkata kebimbangan itu tercetus selepas pengurangan penjarakan sosial dengan masyarakat kini beranggapan ancaman virus sudah berakhir, di mana jelasnya keadaan kini sampai ke tahap yang membahayakan yang mana tiada pelan lain diusulkan jika berlaku perkara tersebut.

“Kami benar-benar berada pada risiko gelombang kedua virus tetapi situasi itu boleh saja menjadi semakin teruk,” katanya kepada wartawan.

Seperti negara lain, sekatan awal perjalanan dan perhimpunan berjaya mengurangkan virus di Melbourne sebelum minggu lalu.

Australia telah mencatatkan hampir 7,500 kes COVID-19 dan 102 kematian, walaupun beberapa wilayah telah menyatakan mereka kini bebas daripada virus berkenaan. – AFP