BEIJING, 30 Mei – Syarikat-syarikat Amerika di China resah dengan ancaman kawalan eksport dan pelaburan dari Washington dalam pertikaian perdagangan dengan Beijing namun melihatnya sebagai kemungkinan cara untuk mencapai keadaan operasi yang lebih adil, menurut kumpulan niaga terbesar AS di negara itu hari ini.
Ancaman kenaikan cukai sebelumnya dari Presiden Donald Trump telah membawa kepada rundingan sangat tegang dengan Beijing ‘dengan cara yang tidak pernah kami lihat dalam tempoh bertahun-tahun,” kata pengerusi Dewan Perdagangan Amerika di China, William Zarit.
Sebelum ketibaan Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross pada Sabtu lalu bagi rundingan, Zarit berkata syarikat-syarikat berharap Beijing boleh dipujuk ‘untuk menyamakan persaingan’ dengan mengurangkan sekatan ke atas pelaburan asing dan kegiatan niaga dalam ekonomi yang didominasi oleh negaranya.
Pentadbiran Trump semalam membaharui ancamannya, iaitu tambahan 25 peratus cukai ke atas nilai AS$50 bilion barangan China dalam respons kepada rungutan bahawa Beijing mencuri atau memberi tekanan ke atas syarikat-syarikat asing untuk menyerahkan teknologi.

Rumah Putih berkata ia juga akan mengenakan pengetatan ke atas pelaburan China dan pembelian eksport berteknologi.
“Saya tidak akan mengatakan kami memihak secara khusus kawalan eksport, pengetatan pelaburan,” menurut Zarit. Tetapi dia berkata syarikat-syarikat Amerika mahukan layanan sama rata.
Syarikat-syarikat Amerika, akan hanya memihaknya hingga kita boleh menyamakan persaingan, katanya pada sidang media. Kementerian Perdagangan China mengkritik pengumuman semalam sebagai ‘bertentangan dengan sepersetujuan yang dicapai.’ – AFP