Kebimbangan virus belenggu sesi persekolahan Iran

TEHRAN – Tahun persekolahan di Iran bermula Sabtu lalu setelah penutupan hampir enam bulan kerana wabak koronavirus, dengan ibu bapa menyuarakan kebimbangan walaupun pihak berkuasa berjanji untuk menguatkuasakan protokol kesihatan.

Kira-kira 15 juta murid di republik Islam itu kembali ke kelas, kebanyakannya dari jarak jauh, ketika negara itu terus memerangi wabak COVID-19, yang paling banyak membawa maut di negara itu, dengan lebih 22,000 maut dan lebih daripada 384,000 dijangkiti sejak kes pertama disahkan pada Februari lalu.

Hari pertama kelas di sekolah menengah Nojavanan di timur laut Tehran dihadiri oleh sejumlah pegawai dan wartawan serta pelajar.

Presiden Hassan Rouhani muncul dalam sebuah video untuk merasmikan tahun akademik baharu di sekolah itu bagi memenuhi desakan rakyat Iran dalam talian yang berpendapat bahawa beliau seharusnya datang secara langsung sekiranya pelajar dikehendaki hadir.

Menteri Pendidikan Mohsen Haji-Mirzaei berusaha meredakan keprihatinan ibu bapa dalam satu ucapan setelah dia membunyikan loceng untuk melancarkan tahun persekolahan baharu.

Para pelajar memakai penutup mulut dan hidung mengibarkan bendera kebangsaan Iran di kawasan di Sekolah Nojavon semasa pembukaan sesi persekolahan baharu. – AFP
Kelihatan para pelajar mengekalkan jarak fizikal dan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di dalam kelas. – AFP

“Saya harap para ibu bapa mempercayai kami dan yakin bahawa kementerian akan sangat berwaspada dalam protokol kesihatan,” katanya.

Murid-murid dan warga lain memakai penutup mulut dan hidung serta diminta melewati terowong pembasmian kuman, memeriksa suhu mereka dan duduk jauh di halaman sekolah.

Langkah-langkah antivirus lain di sekolah termasuk menjaga kebersihan kelas hingga 35 minit dan mewajibkan pelajar dan kakitangan mengamalkan jarak satu meter (tiga kaki) dan memakai penutup mulut dan hidung, menurut pasukan petugas antivirus Iran.

Rouhani dikritik

Ketika video ucapannya, Rouhani menekankan perlunya para pelajar mematuhi protokol kesihatan, menyeru amalam ‘disiplin terbaik’ dalam menghormati langkah-langkah itu.

Pilihan Rouhani untuk tidak menghadiri upacara pembukaan secara langsung mendapat kritikan daripada beberapa pihak.

“Rouhani membunyikan loceng (untuk memulai tahun sekolah) dari jarak jauh, dan beliau mengharapkan saya menghantar anak ke sekolah? wartawan reformis Maziar Khosravi menulis di Twitter.

Penerbit filem konservatif Mahmoud Razavi menambah nada sama seperti Khosravi dalam ciapannya sendiri, mengatakan, “bagaimana mereka mahu orang ramai mempercayai protokol ketika presiden sendiri tidak melakukannya, dan menghantar orang yang disayangi ke sekolah? “

Kerajaan Rouhani telah diselar sebelum sekolah dibuka kembali, dengan ketua majlis perubatan Iran, Mohammadreza Zafarghandi, menulis surat terbuka, menekankan bahawa cadangan protokol kesihatan tidak sesuai kerana pelajar boleh menyebarkan virus jika mereka dijangkiti meskipun tidak bergejala.

‘Tekanan’

Keprihatinan ini dikongsi oleh beberapa guru, ibu bapa dan pelajar di sekolah menengah Nojavanan.

“Mengawal (penyebaran COVID-19) sangat sukar… sama seperti mengajar anak-anak bagaimana mengikuti protokol kesihatan dan jarak fizikal,” kata pengetua sekolah, Nasrin Mobini, kepada media.

“Kita semua risau – rakan sekerja, ibu bapa, semua orang.”

Guru sastera Amiri, 60, mengatakan kembalinya pelajar ke sekolah adalah satu ‘tekanan’ tetapi penting untuk mengadakan kelas pertama secara langsung supaya guru dan pelajar dapat saling mengenali.

Seorang ibu, yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Azaraksh, mengatakan menghantar anaknya untuk hari pembukaan sekolah dengan kewaspadaan, tetapi dia lebih setuju pendidikan secara bersemuka sekiranya protokol kesihatan “benar-benar” dipatuhi.

Ramai pelajar berkongsi kerisauan ibu bapa mereka, tetapi gembira dapat kembali ke sekolah.

“Kami gembira sekolah dibuka semula, tetapi… masih berbahaya bagi kami dan yang lain,” kata Askhan yang berusia 14 tahun.

Sebilangan besar kelas dijangka diadakan dari jarak jauh, walaupun sebilangan murid, termasuk di prasekolah dan sekolah rendah akan menghadiri kelas secara berselang-seli.

Ava Golkar, 33, ketua jabatan Bahasa Inggeris di sekolah rendah Soroush di utara Tehran, memberitahu media bahawa hanya lima orang murid yang menghadiri hari pembukaan secara langsung, sementara selebihnya belajar melalui penstriman video. – AFP