Kebimbangan virus cetus rusuhan penjara Thailand

BANGKOK, 29 MAC – Puluhan banduan merosakkan perabot dan memecahkan tingkap semasa rusuhan dalam penjara Thailand hari ini yang dicetuskan oleh kebimbangan wabak koronavirus di kemudahan itu.

Semasa keganasan itu beberapa pesalah melarikan diri dari penjara Buriram di mana 2,000 telah ditahan, kata kementerian keadilan. Tujuh daripadanya telah ditangkap.

Media tempatan menunjukkan rakaman asap hitam berkepul-kepul dari kemudahan di timur laut negara itu.

“Terdapat kumpulan banduan cuba untuk melarikan diri dan mencetuskan huru-hara…yang termasuk membakar beberapa kemudahan di dalamnya,” kata Ketua Pengarah Jabatan Keadilan, Narat Sawetana.

Menteri Keadilan, Somsak Thepsutin mengesahkan sekumpulan banduan dihukum penjara seumur hidup telah mencetuskan ‘kebimbangan’ banduan lain dengan khabar angin mengenai wabak virus.

Gambar serahan Kementerian Keadilan Thailand pada 29 Mac menunjukkan Penjara Buriram selepas berlakunya rusuhan banduan di Buriram. – AFP

“Faktanya tidak ada sesiapa pun kalangan banduan di Buriram telah dijangkiti – mereka hanya memulakan desas-desus ini untuk mencari beberapa penyokong,” kata menteri, menambah bahawa kafeteria dan kawasan melawat antara kemudahan yang dibakar.

Para kakitangan kesihatan mental kemudian dikerahkan untuk meredakan banduan-banduan ‘selepas beberapa khabar angin menular’ tentang wabak COVID-19, kata Mejar Jeneral Akkaradej Pimonsri.

“Situasi itu masih terkawal,” tambahnya.

Thailand telah mencatatkan 1,388 kes koronavirus, termasuk tujuh kematian.

Kira-kira dua banduan di negara itu telah dijangkiti virus mudah berjangkit itu. – AFP