Kebun tradisional gamit kenangan lama

Minat terhadap estetika berkebun yang lebih tradisional telah pun wujud walaupun sebelum krisis koronavirus mencetuskan trend terbaharu dalam kebun sayur-sayuran atau dikenali sebagai taman makanan semasa Perang Dunia Kedua.

Misalnya, wujudnya apa yang dikenali sebagai Grandmother’s Garden. Batas bunga tradisional, naturalistik yang kaya dengan warna ini adalah amat popular dan juga sesuai dalam persekitaran kontemporari, menurut Leonard Perry, profesor emeritus hortikultur di Universiti Vermont.

“Selalunya muncul dalam keadaan tidak teratur atau ditanam secara rawak, kebun berkenaan sebenarnya dibina khas sebagai lukisan dengan tumpuan diberikan pada komposisi menggunakan warna, bentuk dan tekstur,” kata beliau.

Grandmother’s Gardens merupakan cabang kebun bunga Amerika lama atau ketinggalan zaman, yang mengandungi gabungan pelbagai jenis tanaman, termasuk sayur-sayuran dan bunga.

Mewujudkannya semula bermakna mereka bentuk landskap yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan bunga yang hidup sepanjang tahun, tumbuhan asli Amerika Syarikat, kata Perry. Dan dengan bunga jenis tradisional yang terdapat dengan banyak, Grandmother’s Gardens bukan tapak yang mudah untuk dikendalikan. Ia memerlukan pengetahuan untuk menanam kombinasi bunga bersejarah yang betul, dan usaha untuk memulakan tanaman pusaka turun-temurun dari benih.

Beraneka jenis bunga primrose yang ditanam di Langley, Washington. – AP
Gambar bunga ‘bleeding hearts’ yang biasa ditemui dalam ‘Grandmother’s Gardens’ dan popular beberapa generasi lalu. – AP

Kebun berkenaan juga memerlukan penjagaan atau penyelenggaraan yang lebih rapi.

“Dengan begitu banyak tarikan dan pilihan pada masa sekarang berbanding semasa zaman nenek kami, kebanyakan pekebun mengusahakan kebun yang lebih mudah dikendalikan sekarang.

Dan dengan perintah berkurung koronavirus hari ini, ramai orang kini beralih kepada menghabiskan lebih banyak masa mengusahakan projek berkebun.

Grandmother’s Gardens, yang mempunyai estetika yang lebih relaks dan santai, adalah landskap yang popular sejak berakhirnya Perang Saudara sehingga awal tahun 1920.

“Ia berbeza dengan kebun di luar negara, contohnya kebun Inggeris, di mana kebanyakannya adalah hasil kerja seorang individu, biasanya seorang wanita, dan bukannya sekumpulan pekebun, biasanya diusahakan oleh kaum lelaki,” kata Perry.

Kebanyakan standard lama seperti bunga-bungaan nasturtium, English primrose, bachelor’s buttons, sweet peas, gladiolus, hollyhocks, lilac, foxgloves dan columbines – bunga yang diingati oleh ramai di antara kami semasa zaman kanak-kanak – telah menjadi lapuk dan tidak popular ibarat mesin taip lama, pita video ataupun almari pakaian. Namun setiap fesyen membangkitkan reaksi, yang mendorong kepada trend baharu yang menemui semula bahan tradisional, dan ia termasuklah tumbuh-tumbuhan, kata Scott Kunst, pengasas dan bekas tuan punya Old House Gardens di Ann Arbor, Michigan.

“Secara beransur-ansur tetapi pastinya, pekebun yang tidak berminat dalam bunga eksotik dengan kelopak berwarna terang pada era Victoria akan tertarik kepada bunga yang mempunyai sejarah lama dalam taman Barat, terutamanya bunga yang berkembang mekar sepanjang tahun seperti peony dan iris, bunga bermusim seperti larkspur dan bunga popi, serta pokok bebawang yang akan kembali dan berkembang tahun demi tahun seperti bunga dafodil dan snowdrop.

Ia ditanam dalam gabungan tidak formal yang mengingatkan kembali kepada zaman ‘kotej’ England, rumah penduduk kampung yang miskin, dan era kolonial Amerika, kata Kunst dalam e-mel.

“Grandmother’s Gardens juga menekankan rasa penghargaan terhadap tumbuhan sebagai tumbuhan, bukan hanya tompok warna, dan sebagai ruang kepada pekebun untuk berinteraksi dengan dunia sebenar, yang saya fikir adalah satu elemen berkebun yang penting untuk ramai di antara kami hari ini,” kata Kunst.

“Ciri-ciri buatan manusia yang digunakan dalam landskap dan dapur belakang rumah tidak banyak membantu kami berinteraksi dengan alam semula jadi, sebaliknya berkebun atau mengusahakan tanaman dapat membantu, yang merupakan sesuatu yang saya pelajari daripada nenek saya,” kata beliau. – AP