Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kecacatan bukan penghalang tawan Gunung Kilimanjaro

    SINGAPURA – Mendaki gunung bukanlah sesuatu yang awda akan kaitkan dengan kanak-kanak berumur 11 tahun, apatah lagi mereka yang dilahirkan dengan penyakit congenital talipes equinovarus, atau lebih dikenali sebagai club foot, iaitu kecacatan pada bahagian kaki di mana kaki terpusing ke bawah dan ke dalam.

    Namun itulah tujuan Vedant pergi ke Tanzania, di mana dia berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895m pada 10 Julai lalu, selepas perjalanan lima hari.

    Vedant, yang telah diperbetulkan keadaan kakinya sejak masih kecil lagi, melakukan pendakian bersama bapanya, bapa saudaranya dan seorang jirannya.

    Club foot adalah salah satu kecacatan sejak lahir yang paling biasa, menjejaskan kira-kira 150,000 anak damit baru lahir di seluruh dunia setiap tahun.

    Dilahirkan di Jakarta pada 2011, Vedant memiliki kaki kanan yang normal sejak lahir, manakala kaki kirinya bengkok kira-kira 90 darjah ke dalam.

    Vedant dan ayahnya kelihatan membuat persiapan sebelum memulakan pengembaraan. – ANN/The Straits Times
    Vedant telah berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895m selepas perjalanan lima hari bersama bapanya, bapa saudaranya dan jirannya pada 10 Julai lalu. – ANN/The Straits Times
    Pendakap kaki untuk mengekalkan kedudukan kaki yang dibetulkan. – ANN/The Straits Times
    Vedant dilahirkan di Jakarta pada 2011, memiliki kaki kanan yang normal sejak lahir manakala kaki kirinya bengkok kira-kira 90 darjah ke dalam. – ANN/The Straits Times

    Menurut bapanya, Vijay Nayudu, 43, pengarah kanan di Pusat Kecemerlangan AI NCS, segala-galanya kelihatan normal semasa imbasan sebelum kelahiran berkala dengan pakar sakit puan dan radiologi di Indonesia, tempat dia bertugas pada masa itu.

    “Kami tidak mengharapkan apa-apa selain daripada biasa dan ia adalah kali pertama saya melihat kaki seperti itu. Banyak perkara yang saya fikiran dan saya sebenarnya pengsan,” kata Vijay.

    Nasib baik, abang ipar Vijay merupakan seorang doktor berada di situ untuk menjelaskan keadaan itu kepadanya dan isterinya Agya Kharel, 45, seorang peguam korporat. Dia memberi jaminan kepada mereka bahawa club foot boleh dirawat dan memperkenalkan mereka kepada kaedah Ponseti, teknik khusus merawat kecacatan club foot, yang mana ibu bapa Vedant memilih untuk menggunakannya.

    Vedant menerima rawatan pertamanya di Jakarta ketika berusia dua hari. Doktor perlahan-lahan merawat kaki yang terjejas untuk melepaskan tendon Achilles dan memperbetulkan kakinya dengan alat bantuan dari jari kaki ke pangkal paha. Alat itu dikeluarkan selepas lima hingga tujuh hari dan proses itu diulang setiap minggu selama lima minggu.

    Memandangkan doktor di Jakarta yang merawat Vedant tidak diperakui secara khusus dalam kaedah Ponseti, ibu bapanya dinasihatkan membawanya ke Singapura untuk rawatan lanjut.

    Jadi apabila dia berusia dua bulan dan dapat melakukan perjalanan, mereka membawanya berjumpa Profesor Madya Kevin Lim, pengerusi bahagian pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, untuk meneruskan rawatan. Dr Lim terus merawat kaki Vedant untuk mencapai pembetulan yang lebih baik dan kakinya dimasukkan ke dalam cast selama seminggu lagi.

    Keluarga itu berulang-alik beberapa kali antara Jakarta dan Singapura sehingga pembetulan yang diingini dicapai, dan mereka akhirnya berpindah ke Singapura selepas Naduyu ditempatkan di sini untuk tugasnya.

    Majoriti anak damit yang mempunyai club foot juga memerlukan ‘tenotomi kord tumit’, yang merupakan prosedur pembedahan kecil di mana tendon Achilles dipanjangkan untuk meningkatkan kelenturan pada buku lali, membolehkan kaki dibawa ke kedudukan neutral.

    Ibu bapa Vedant memutuskan untuk menentang perkara itu selepas mendapatkan pendapat kedua daripada doktor di India, yang memeriksa tahap pergerakan yang berlaku di buku lali apabila awda menarik jari kaki ke belakang ke tulang kering dan membuat kesimpulan bahawa Vedant adalah cukup fleksibel.

    Daripada melakukan pembedahan, dia sebaliknya mengesyorkan Vedant melakukan sukan pada tahun-tahun berikutnya untuk memastikan dia mengekalkan fleksibiliti di buku lalinya.

    “Ia adalah tugas yang sangat sukar untuk ibu bapa dan sedikit trauma mental. Memiliki anak yang baharu lahir dengan alat bantuan di kakinya bukanlah sesuatu yang awda inginkan,” kata ibu Vedant.

    Fasa kedua melibatkan pemakaian pendakap kaki untuk mengekalkan kedudukan kaki yang dibetulkan. Vedant memakainya selama 23 jam sehari sehingga dia berumur satu setengah tahun, dan kemudian menggunakannya hanya pada waktu malam selama 12 jam sehingga umur empat tahun.

    Ibu bapa Vedant memastikan dia aktif dan menghabiskan banyak masa bersamanya di luar rumah, dan apabila dia cukup dewasa untuk mula menyertai sukan, dia terlibat sepenuhnya.

    Kakinya yang terjejas sedikit lebih kecil daripada yang lain tetapi itu tidak menghalangnya daripada melakukan pelbagai aktiviti.

    Pada usia tiga tahun, dia mula mengikuti kelas taekwando, dan akhirnya memperoleh tali pinggang hitam junior. Ini diikuti dengan dia mengikuti sukan kriket dan bola sepak pada usia lima tahun, dan olahraga ketika dia berusia sekitar tujuh tahun.

    Tenis juga sesuatu yang menarik minatnya. Pada Mei tahun ini, Vedant turut mengambil bahagian dalam kejohanan kumpulan Umur Muda ke-2 Persatuan Tenis Singapura Spex di Pusat Tenis Kallang.

    Vedant juga bukan baharu dalam aktiviti mendaki gunung. Empat tahun lalu, dia pergi mengembara bersama bapanya ke Kem Pangkalan Annapurna di Nepal. Duo bapa dan anak itu, bersama bapa saudara Vedant dan jiran, mencapai matlamat mereka untuk sampai ke puncak Gunung Kilimanjaro pada 10 Julai lalu.

    Sebagai sebahagian persiapan untuk pengembaraan, Vijay dan Vedant mendaki di tempat-tempat seperti Taman Alam Windsor dan Empangan MacRitchie. Mereka juga membeli-belah untuk membeli peralatan trekking tambahan untuk Vedant dan mendapatkan vaksin demam kuning mereka. Walaupun melakukan pelbagai persiapan, Vedant tidak pernah mengeluh.

    “Saya bernasib baik kerana dirawat oleh doktor yang sangat mahir dan kaki saya diperbetulkan tanpa pembedahan. Saya bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan meneruskan pelbagai aktiviti sukan yang saya gemari.

    “Tetapi terdapat ramai kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak mempunyai akses atau cara untuk membetulkan keadaan club foot, dan saya ingin membantu mereka supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang normal,” kata Vedant.

    Vedant dan bapanya menubuhkan laman sesawang happyfeat.co, dengan objektif untuk mewujudkan kesedaran tentang club foot dan telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Miraclefeet untuk menjalankan pengumpulan dana mereka.

    Setakat ini, mereka telah mengumpulkan lebih AS$20,000 (S$28,040) daripada sasaran mereka sebanyak AS$25,000 untuk membiayai rawatan kanak-kanak yang terjejas akibat club foot.

    “Kami cukup diberkati dalam banyak cara. Kami mempunyai akses kepada doktor. Kami mempunyai akses kepada kewangan yang mencukupi dan kasut (pendakap) yang kami beli dari Amerika Syarikat. Setelah melalui semua kesakitan, Vedant berkata kita juga mesti membalas jasa,” kata Vijay. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...