Monday, October 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecam keganasan ketika bantahan

    NEW YORK, 10 Jan – Ketua pengaman PBB mengecam ‘penindasan ganas’ oleh pasukan keselamatan Congo terhadap para penunjuk perasaan yang membantah keengganan Presiden Joseph Kabila untuk meletak jawatan dan semalam memberi amaran bahawa penangguhan pilihan raya seterusnya berisiko mencetuskan ketegangan politik.

    Jean-Pierra Lacroix memberitahu Majlis Keselamatan bahawa ‘krisis kesahan’ bagi institusi Congo dan ketiadaan kemajuan ke arah melaksanakan perjanjian pilihan raya 2016 telah mengundang “kekecewaan, ketidaksabaran dan ketegangan yang membawa kepada keganasan” sebelum Tahun Baru.

    Para paderi dan aktivis telah menyeru untuk mengadakan bantahan aman selepas upacara keagamaan pada 31 Disember, setahun selepas gereja Roman Katolik menyaksikan penandatanganan perjanjian yang menetapkan tarikh pilihan raya baru untuk mengurangkan ketegangan di negara yang kaya dengan hasil galian itu. Lebih 160 buah gereja terlibat dalam bantahan.

    Para penduduk di Congo yang menyertai bantahan terhadap keengganan peletakan jawatan Presiden Joseph Kabila dari jawatannya di Kinshasa, Republik Demokratik Congo, pada 31 Disember 2017. – AP

    Kabila, yang mandatnya berakhir pada Disember 2016 bersetuju untuk menetapkan pilihan raya sebelum akhir 2017, tetapi suruhanjaya pilihan raya Congo berkata pengundian tidak boleh diadakan sehingga Disember 2018.

    Misi PBB di Congo dan pihak polis berkata pasukan keselamatan telah membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan seorang anggota polis terbunuh dalam keganasan ketika bantahan oleh lebih seribu orang di bandar Kinshasa.

    Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata keganasan melampau pasukan keselamatan kerajaan termasuklah menggunakan peluru hidup ke atas para pembantah dan juga gas pemedih mata di dalam gereja dan menangkap orang awam termasuklah pembantu-pembantu paderi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda