Kecaman jadi pembakar semangat

Pelawak, Achey, menjadikan persepsi negatif segelintir pihak terhadap dirinya sebagai pembakar semangat untuk lebih maju dalam kerjaya seni diceburi, termasuk bidang nyanyian.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, segala kata-kata negatif yang dilontarkan mendorong dirinya untuk bekerja lebih keras, seterusnya membuktikan tanggapan mereka selama ini silap.

“Tidak dinafikan, ada sesetengah pihak yang bersikap skeptikal dan memandang rendah terhadap saya kerana memulakan langkah dalam bidang seni sebagai pelawak.

“Kecaman dan kata-kata negatif itu dijadikan penguat semangat untuk saya memberikan yang terbaik, sekali gus membuktikan dakwaan mereka tidak benar sama sekali.

“Ia tidak seharusnya dijadikan sebagai penghalang impian, sebaliknya diri kita mampu untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Achey menyatakan segala kecaman dan kata-kata negatif akan dijadikan sebagai semangat untuk memberikan yang terbaik. – Agensi

“Apatah lagi, lagu Yang Terindah yang dihasilkan ikhlas daripada hati untuk dikongsikan kepada semua.

“Ia lahir hasil daripada ketulusan cinta suami buat isterinya dan kisah berkenaan banyak persamaannya dengan pasangan di luar sana,” katanya kepada BH Online.

Achey berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian single nyanyiannya yang mendapat sokongan hebat apabila video muzik lagu terbabit mencatat lebih 30 juta tontonan di YouTube, sedangkan dirinya lebih dikenali sebagai artis komedi.

Yang Terindah mula dikongsi di laman berkenaan pada 30 Oktober 2017.

Tidak menyangka lagu terbabit meninggalkan impak begitu besar, Achey berkata, dia sememangnya mengintai peluang untuk bergelar artis serba boleh.

“Saya amat terhutang budi dengan syarikat rakaman, 17 Eleven Music, dan komposer, Zimi, atas kepercayaan diberikan. Begitu juga dengan sokongan peminat,” katanya.

Selain Yang Terindah, Achey turut melancarkan sebuah lagi single ciptaan sendiri, Anak, penghujung tahun lalu. Lagu itu diterbitkan sebagai tanda cinta buat anaknya, Nur Tiara Zinnirah Mohd Nasir, yang kini berusia setahun dua bulan.

“Insya-Allah, saya bakal tampil dengan single lain pula, selepas ini. Saya juga menyimpan impian untuk menghasilkan album penuh.

“Semoga semua hasrat berkenaan dipermudahkan. Biarpun lagu Anak kurang memberangsangkan berbanding Yang Terindah, ia tidak membantutkan hasrat saya untuk terus berkarya,” kata Achey lagi. – Agensi