Kecederaan Davis risaukan Lakers

LOS ANGELES, 27 OKT – Los Angeles Lakers mengatasi ketiadaan LeBron James dan kerisauan mengenai kecederaan Anthony Davis kelmarin untuk menewaskan San Antonio Spurs pada masa tambahan sementara Golden State Warriors melanjutkan permulaan tanpa kalah mereka pada musim ini.

Pemain bintang Lakers, Davis menamatkan perlawanan dengan 35 mata, 17 rebound dan empat assist manakala Russell Westbrook mencatatkan 33 mata, 10 rebound dan lapan assist dalam kemenangan 125-121 ke atas Spurs di Texas. 

Tetapi Lakers, tanpa kehadiran James, yang bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki kanan, diberi kerisauan pada lewat suku keempat apabila Davis rebah di gelanggang sambil memegang lutut kanannya.

Davis kemudian kembali bangkit untuk membantu Lakers mencatat kemenangan pada masa tambahan.

Jurulatih Lakers, Frank Vogel berkata selepas itu pasukannya akan memantau kecederaan Davis untuk kemungkinan reaksi selanjutnya.

“Kami hanya perlu melihat tahap kecederaan tersebut,” kata Vogel. “Dia berlanggar lututnya dengan salah seorang pemain lawan. Kita akan lihat bagaimana dia bertindak balas semalaman.”

Sementara itu, Vogel gembira dengan cara pasukannya bangkit daripada ketinggalan 12 mata pada suku keempat. “Kami tidak pernah hilang kepercayaan, walaupun ketika kami tersungkur, kami akan memenangi perlawanan,” kata Vogel. “Kami hanya bertahan dan mendapat kemenangan besar.” – AFP

Reaksi pemain NBA Lakers, Anthony Davis memegang bahu menahan kesakitan dalam perlawanan untuk mendapatkan rebound pada separuh masa pertama di Pusat AT&T di San Antonio, Texas kelmarin. – AFP