Kecederaan Dembele gusarkan Barca

BARCELONA, 20 OGOS – Penyerang antarabangsa Perancis, Ousmane Dembele (gambar bawah), akan diketepikan daripada beraksi bersama Barcelona selama lima minggu selepas mengalami kecederaan hamstring, umum kelab itu.

Kelab dalam kenyataannya menyatakan bahawa siri ujian menunjukkan masalah hamstring pada paha kirinya.

Jika Dembele tidak beraksi selama lima minggu, dia akan terlepas lima perlawanan La Liga serta kelayakan Euro 2020 bersama Perancis menentang Albania pada 7 September dan Andorra pada 20 September.

Dia mengalami kecederaan yang sama pada Mei, menyimpulkan musim pertamanya yang teruk dilanda kecederaan di Barcelona.

Dia adalah mangsa terbaharu di barisan serangan Barca yang semakin mengecil.

Lionel Messi terlepas aksi pembukaan La Liga di Bilbao baru-baru ini, yang menyaksikan Barca tewas 1-0, kerana masalah paha.

Bintang Uruguay, Luis Suarez berjalan tempang selepas 37 minit di Bilbao, juga mengalami masalah paha, dan dijangka direhatkan selama sebulan.

Barcelona telah meminjamkan pemain tengahnya, Philippe Coutinho ke Bayern Munich tetapi kelab itu kini dalam rundingan untuk membawa kembali Neymar dari Paris Saint-Germain. – AFP