Kecederaan Elliot bayangi kemenangan Liverpool

LEEDS, UNITED KINGDOM, 13 SEPT – Virgil van Dijk memberikan sokongan buat pemain remaja Liverpool, Harvey Elliott selepas bintang tengah berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan pergelangan kaki kiri yang membayangi kemenangan 3-0 Reds di Leeds semalam.

Pemain tengah Leeds, Pascal Struijk dibuang padang kerana cabaran dari belakang terhadap Elliott pada pertengahan babak kedua.

Ketika itu Liverpool sudah selesa hasil jaringan ke-100 Mohamed Salah dalam Liga Perdana dan gol minit ke-50 Fabinho.

Sadio Mane melengkapkan jaringan pada penghujung permainan ketika Liverpool menyertai Manchester United dan Chelsea di kedudukan teratas Liga Perdana dengan 10 mata dikutip daripada empat perlawanan.

Bagaimanapun, kecederaan Elliott membayangi persembahan positif skuad Jurgen Klopp.
Elliott, yang membuat penampilan pertama Liga Perdana ketika berusia 16 tahun bersama Fulham, memberikan persembahan baik bersama skuad Reds pada awal musim ketika menentang Burnley dan Chelsea.

Kapten Liverpool, Van Dijk yang mengalami kecederaan lutut kanan musim lalu berkata Elliott akan mendapat sokongan bagi menghadapi kecederaan itu.

“Kami sentiasa mendoakan Harvey. Saya harap dia akan pulih dengan secepat mungkin,” kata Van Dijk.

“Perkara baik ialah saya sudah melaluinya bersama semua pemain, kakitangan, semua orang di Liverpool, penyokong, mereka sentiasa menyokong ketika waktu sukar. Saya 100 peratus yakin kami akan berada di sana bersamanya.” – AFP

Aksi pemain Liverpool Mohamed Salah semasa meraikan jaringan gol pembukaan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Leeds United dan Liverpool di Elland Road, Leeds, England pada 12 September. – AP