Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecederaan Lukaku masih samar

    MOSCOW, 24 Jun – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez belum mengetahui tahap kecederaan Romelu Lukaku bagi mengharungi pertemuan getir dengan England selepas penyerang yang berada dalam prestasi terbaik ketika ini mengalami kecederaan buku lali, semalam.

    Lukaku dan Eden Hazard masing-masing mencatat dua gol untuk membantu skuad Belgium membelasah Tunisia 5-2 bagi mengungguli Kumpulan G dan menghampiri pusingan 16 terakhir.

    Namun, penyerang Manchester United itu dikeluarkan pada separuh masa kedua dalam aksi yang berlangsung di Stadium Spartak, Moscow.

    “Kami perlu melihat kepada kecederaan buku lali Lukaku. Dia mengalami hentakan dan perlu dinilai,” kata Martinez yang turut mendedahkan pemain terbaik perlawanan Hazard juga mengalami kecederaan.

    “Hazard mengalami sedikit kecederaan, Dries Mertens juga mengalami kecederaan buku lali. Ia mungkin menyebabkan perubahan dalam skuad apabila berdepan England nanti.

    “Jika kami mempunyai tujuh hari untuk mempersiapkan pasukan, saya boleh menyenaraikan skuad sama tetapi realitinya anda hanya bergantung kepada 23 pemain.”

    Ketiadaan Lukaku bakal menjadi tamparan hebat buat Belgium untuk berdepan England, dengan kedudukan teratas kumpulan menjadi taruhan.

    Bintang United itu sudah mengumpul empat gol di Piala Dunia Rusia 2018 dan berkongsi kedudukan dalam carta penjaring terbanyak bersama Cristiano Ronaldo dari Portugal.

    “Dia sangat padu, berkeyakinan dan apabila berada di depan gawang, dia sangat klinikal seperti yang anda jangkakan,” kata Martinez. “Tetapi seperti pemain lain tahu bahawa apa yang penting adalah bermain sebagai satu pasukan.”

    Namun berita baik buat Martinez apabila pemain tengah Chelsea Hazard dijangka cergas untuk beraksi menentang England di Kaliningrad Khamis nanti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda